Sabtu, 3 Februari 2018 | 11:21pm

Umpan konsert GegaRia menjadi

JOHOR BAHRU: Pertaruhan meletakkan nama popular dalam industri muzik pada konsert kemuncak Festival GegaRia berhasil apabila lebih 20,000 penonton membanjiri Angsana Johor Bahru Mall, di sini, malam tadi.

Mengumpan lima nama besar seperti kumpulan De Fam, Noh Salleh, Akim & The Majistret, kugiran Masdo dan Bunkface, percaturan itu menjadi apabila pengunjung tidak berganjak dari petang untuk menyaksikan persembahan artis kesayangan mereka.

Sekali pun bertembung dengan Piala Sumbangsih yang menyaksikan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) bertarung dengan Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sokongan peminat tetap tidak berbelah bahagi.

Menampilkan pasangan penyampai Kool FM, Haiza dan AG sebagai pengacara, trio wanita yang pernah menjulang trofi Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu, Anugerah Industri Muzik Ke-22 (AIM 22), De Fam membuka pentas dengan aksi bertenaga.

Kelincahan kumpulan yang dianggotai Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana itu memukau ramai ketika membawakan lagu yang menjulang nama mereka dalam industri muzik iaitu Supergirls.

Momentum yang dicetuskan De Fam diteruskan dengan kemunculan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh.

Karisma dan aura Noh memukau penonton dengan lagu popularnya, Dugaannya, Angin Kencang, Bukan Di Telinga dan Kotak Hati.

Persembahan diteruskan kumpulan Akim & The Majistret, dengan lagu Potret, Obses dan Lagu Untuk Laila.

Kugiran Masdo yang ditubuhkan pada tahun 2015 menghangatkan lagi konsert menerusi empat lagu seperti Teruna Dan Dara, Bunga, Bercanda di Malam Indah dan Malam Pesta Rock and Roll.

Kemuncak konsert ditutup Bunkface yang dianggotai Paan, Youk dan Sam, menerusi tiga lagu iaitu Malam Ini Kita Punya, Rentak Laguku dan Revolusi.

Festival GegaRia akan meneruskan kembara di destinasi seterusnya iaitu Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 Februari ini.

901 dibaca
ANTARA yang hadir pada konsert Festival GegaRia Edisi Kedua anjuran Media Prima Berhad di padang A, Angsana Johor Bahru Mall. - Foto Asyraf Hamzah
PERSEMBAHAN daripada kumpulan Bunkface ketika Festival GegaRia Edisi Kedua anjuran Media Prima Berhad di padang A, Angsana Johor Bahru Mall. - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X