Sabtu, 17 March 2018 | 4:59pm
SEKITAR majlis doa selamat dan perjumpaan santai anggota Sitizoner di Restoran Puteri Pencala, di ibu kota hari ini.
SEKITAR majlis doa selamat dan perjumpaan santai anggota Sitizoner di Restoran Puteri Pencala, di ibu kota hari ini.
SITI Nurhaliza dikatakan bakal menyambut kelahiran cahaya mata sulung dalam masa terdekat.

Peminat teruja nak tengok Siti jadi ibu

KUALA LUMPUR: Perasaan teruja untuk melihat Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39, selamat melahirkan cahaya mata turut dikongsi anggota kelab peminat penyanyi terkenal itu.

Menggelar diri mereka sebagai Sitizoner, masing-masing tidak sabar untuk menatap wajah bayi penyanyi lagu Comel Pipi Merah itu, selain mendoakan proses melahirkan dipermudahkan.

Menurut orang kuat kelab terbabit, Marr Mohamad, tiada apa yang lebih menggembirakan mereka selain melihat hasrat sekian lama dipendam penyanyi kesayangan mereka untuk memiliki zuriat terlaksana.

"Saya sendiri tidak sabar untuk melihat detik beliau menjadi seorang ibu, membesarkan anak dan membina keluarga yang sempurna bersama suami tercinta.

"Kalau Siti hendak berehat lama-lama pun, kami sebagai peminat sangat memahami. Inilah waktu yang penting buat beliau selepas bekerja keras selama 22 tahun di arena seni," katanya kepada BH Online.

Seorang lagi peminat tegar penyanyi itu, Azwan Hashim, melahirkan rasa syukur kerana kesabaran dan penantian Siti selama ini membuahkan hasil.

"Saya amat bersyukur kerana Allah memakbulkan doa dan impian Siti selama ini untuk menjadi seorang ibu. Bagi saya sendiri, inilah anugerah terindah dan rezeki paling besar maknanya buat beliau daripada Yang Maha Esa.

"Kebahagiaan Siti adalah kebahagiaan semua peminat beliau juga. Kami memang tak berhenti mendoakan yang terbaik untuknya," ujar Azwan.

Sebentar tadi, sebuah majlis doa selamat dan perjumpaan santai anggota Sitizoner diadakan di Restoran Puteri Pencala, di sini.

Majlis anjuran kelab peminat berkenaan dengan kerjasama Siti Nurhaliza Production (SNP) itu dihadiri oleh kira-kira 100 ahlinya.

3315 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »