Selasa, 27 March 2018 | 6:53pm
ZED Zaidi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Aduan masalah cerai pun SENIMAN terima'

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menerima antara 180 hingga 200 aduan daripada ahlinya pada setiap tahun, termasuk kes pinjaman wang haram dan isu berkaitan rumah tangga.

Kata Presidennya, Zed Zaidi, ada juga ahli yang datang mengadu apabila lagu mereka tidak diputarkan di radio dan nama gagal dikredit dalam drama.

"Selain itu, kita ada membantu artis yang terbabit dalam kes polis dan jenayah berat, dengan merujuk kepada peguam persatuan.

"Kami terima apa juga aduan yang datang dan cuba membantu selagi terdaya, termasuk mereka yang datang mengadu masalah perceraian," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kenderaan rasmi SENIMAN oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun meminta ahli persatuan itu memahami, pihak terbabit sekadar menyediakan ruang untuk masing-masing membuat aduan, seterusnya membantu mana yang patut, bukannya menyediakan peluang pekerjaan.

Pada masa sama dedah Zed, masih ada pihak tidak berpuashati apabila menghentam barisan kepimpinan persatuan itu dengan mendakwa, SENIMAN tidak membantu ahlinya.

Katanya, ahli baharu dan muda antara yang sering menuding jari mencari kesalahan persatuan itu, namun setiap kali majlis atau aktiviti diadakan, kelompok terbabit tidak pun kelihatan.

"Sedangkan, pelbagai usaha kita cuba lakukan untuk ahli, termasuk mencari rumah untuk mereka. Saya tahu, masih ada segelintir artis popular yang menyewa, tetapi mereka tidak datang pun berjumpa kita untuk meminta bantuan.

"Jadi, apabila kita membantu ahli veteran, mereka menuduh persatuan ini menumpukan pada sesetengah golongan saja.

"Malah, ada yang lantang bersuara di media sosial menghentam persatuan. Masalahnya, setiap kali program, aktiviti atau mesyuarat agung diadakan, ahli muda ini tak pernah hadir. Bahkan, ada yang tidak mengemas kini data peribadi masing-masing untuk simpanan kita," katanya.

Mengenai kenderaan rasmi persatuan itu, Zed berkata, van dengan kapasiti 15 penumpang bernilai kira-kira RM120,000 terbabit akan digunakan bagi menjayakan pelbagai aktiviti SENIMAN, selain disewakan kepada umum bagi tujuan mengumpul dana.

1345 dibaca
Berita Harian X