Isnin, 2 April 2018 | 3:23pm
ANTARA pengunjung yang menyertai aktiviti senam robik dan zumba sempena Festival GegaRia di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Saddam Yusoff

Jom berzumba di Seremban 2

KUALA LUMPUR: Pelbagai aktiviti menarik disusun bagi meneruskan kehangatan Festival GegaRia 2018 yang bakal memasuki edisi keenam di Dataran Centrio, Seremban 2, Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Seperti edisi terdahulu, antara aktiviti yang menjadi tumpuan ramai pada festival anjuran Media Prima Berhad itu ialah acara zumba yang diadakan seawal jam 8.30 pagi.

Bakal dikendalikan oleh jurulatih kecergasan, Hanif Shawn, aktiviti selama sejam itu membuka penyertaannya kepada orang ramai untuk sama-sama memeriahkan acara.

Selain menyediakan aktiviti kecergasan percuma, beg istimewa dan baju-T edisi terhad Festival GegaRia turut diberikan kepada 500 pengunjung awal yang mendaftar untuk acara terbabit.

Aktiviti kecergasan zumba pada sebelah pagi ini adalah sebahagian daripada program menarik yang berlangsung di bawah segmen Zon Gaya Hidup.

Antara tarikan lain yang boleh diikuti pada festival berkenaan dari jam 8 pagi hingga 11 malam itu ialah pameran foto, aktiviti permainan, tutorial mekap, demonstrasi masakan dan persembahan artis.

Penonton yang hadir juga akan dihiburkan dengan acara kemuncak dalam persembahan yang menampilkan artis popular tempatan seperti Izzue Islam, Noh Salleh, Kugiran Masdo, Bunkface, Gerhana Ska Cinta, Waris dan Orkes A Hizadin.

Festival GegaRia menampilkan lima zon kontena iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan.

772 dibaca
Berita Harian X