Khamis, 5 April 2018 | 9:41pm
PENGARANG Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak bergambar bersama krew penerbitan pada majlis pelancaran Dakwat Di Jari (DDJ) di Royale Hotel. - Foto Mahzir Mat Isa

Kupasan isu wanita dalam Dakwat Di Jari

PETALING JAYA: Buat kali pertama, TV9 mengambil inisiatif memperkenalkan program khusus untuk wanita, Dakwat Di Jari (DDJ) bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kaum Hawa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak, menerusi DDJ, wanita berpeluang menzahirkan pendapat dan buah fikiran mengenai demokrasi serta harapan mereka untuk lima tahun akan datang.

"Dalam PRU-14, wanita dijangka menjadi penentu kepada kemenangan calon parti yang bertanding ekoran peningkatan bilangan yang ketara.

"Berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 14,968, 229 pengundi berdaftar setakat ini. Lebih 51 peratus daripada jumlah itu adalah wanita, termasuk mereka yang bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama.

"DDJ akan mengupas pelbagai isu kepentingan kaum Hawa bersama tetamu jemputan terdiri daripada wanita berpengaruh seperti tokoh politik, selebriti dan ahli akademik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah dan Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa MPB, Datuk Manja Ismail.

DDJ akan disiarkan secara langsung pada jam 5 petang selama sejam di TV9 bermula hari penamaan calon sehingga sehari sebelum tarikh mengundi.

Dikendalikan pasangan pembaca berita muda, Mas Zharif Aziz Desa dan Hawa Rizwana Redzuan, program ini dijangka mendapat sambutan pelbagai kelompok penonton.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Bersama, Wan Sabariah Shikh Ali berkata, DDJ menggabungkan ahli politik daripada pelbagai parti sebagai anggota panel, sekali gus menolak tanggapan program itu bersifat partisme.

"Antara tetamu yang diundang untuk perbincangan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Nancy Shukri; Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Siai Kee; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar serta Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy.

"Topik yang dikupas tidak berunsur partisme dan program ini sesuai ditonton semua kerana ia tiada unsur berat sebelah," katanya.

Selain tokoh politik, ahli akademik termasuk Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Sri Zaleha Kamarudin diundang sebagai tetamu jemputan selain selebriti seperti Sherry Al-Hadad, Fazura dan Mas Idayu.

Antara topik yang bakal dikupas termasuk Berita Palsu dan Kesannya Terhadap Cara Pengundi Wanita Membuat Keputusan; Ikon Wanita Dalam Politik; Apa Pengundi Muda Mahu; Psikologi dan Emosi Pengundi Wanita; Kedudukan Wanita Dalam Kabinet; Wanita Tak Lupa Janji dan Pengaruh Wanita Dalam PRU-14.

TV9 turut membariskan pelbagai liputan menarik dan terkini sepanjang tempoh PRU-14 termasuk siaran langsung pembubaran Parlimen, sidang media oleh SPR bagi mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi, pelancaran manifesto parti dan keputusan PRU-14.

883 dibaca
Berita Harian X