Ahad, 15 April 2018 | 11:18pm

Irwan akur tersingkir persaingan Mentor Otai


IRWAN (kanan) ketika menunggu keputusan diumumkan. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Impian Irwan Ahmad, 35, untuk melangkah ke acara kemuncak program realiti, Mentor Otai, musnah apabila tersingkir pada persaingan minggu kelima yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, malam ini.

Protege kepada Tam Spider itu terpaksa akur apabila persembahannya membawakan lagu Hidup Dalam Mati nyanyian asal Syamel gagal menambat hati umum, sekali gus meletakkannya pada kedudukan terbawah di samping protege Zarul, Lokman Azmi.

Biarpun mempamerkan persembahan yang bersahaja, Edry Abdul Halim sebagai juri tetap menyifatkan nyanyian Irwan sebagai gelojoh dan tergopoh-gapah, selain perlu memperbaiki bahasa tubuhnya di pentas supaya tidak kelihatan kekok.

Selain Edry, persembahan peserta turut dinilai seorang lagi juri tetap, Mark Adam mewakili 50 peratus markah.

"Saya akur langkah di Mentor Otai terhenti setakat ini. Bertahan sehingga ke tahap ini adalah sesuatu yang tidak pernah saya sangka. Saya ingin berterima kasih kepada semua yang menyokong dan abang Tam sebagai mentor yang banyak membantu saya selama bertanding," kata Irwan.

Program yang dihoskan Haziq dan Elly Mazlein itu turut memberikan kuasa kepada juri awam mewakili 20 peratus markah keseluruhan, manakala undian penonton secara atas talian 30 peratus.


DARI kiri; Lokman, Alina, Azee, Elvira dan AJ berjaya ke peringkat separuh akhir Mentor Otai. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Masih berbaki lima peserta yang bakal meneruskan perjuangan mereka untuk menempah tiket ke peringkat akhir yang menawarkan hadiah RM100,000 kepada juara.

Mentor Otai membariskan lapan peserta di bawah bimbingan empat penyanyi berpengalaman iaitu Tam, Zarul, Misha Omar dan Sarah Raissuddin.

Terdahulu, dua peserta meninggalkan pentas Mentor Otai iaitu protege Sarah, Ayie yang tersingkir pada pusingan kedua, manakala Misha kehilangan anak didiknya, Azran minggu lalu.


IRWAN tersingkir pada persaingan minggu kelima yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, malam ini. - Foto Khairul Azhar Ahmad

3914 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »