Jumaat, 5 Oktober 2018 | 12:00pm
SUFIAN komited beri yang terbaik biarpun berdepan masalah kesihatan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sufian lawan sakit, Sarah cabar diri

KUALA LUMPUR: Diuji masalah kesihatan menjelang detik kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, penyanyi Sufian Suhaimi tetap komited memberikan yang terbaik ketika sesi latihan yang bermula semalam.

Sufian yang bakal beraksi bersama bakat baharu, Masya Masyitah bagaimanapun, berharap kesihatannya akan segera pulih untuk memastikan kemunculannya pada Ahad ini memberikan kepuasan kepada penonton.

"Saya sibuk berulang-alik ke Jakarta, Indonesia untuk perbincangan rakaman semula lagu Di Matamu 2.0 menyebabkan kesihatan saya sedikit merosot kerana kurang rehat.

“Jadi, saya tidak terlalu memaksa ketika sesi latihan pertama, petang semalam. Saya berharap akan kembali sihat kerana tidak mahu mengecewakan peminat yang sentiasa menyokong tanpa henti,” katanya.

Sementara itu, Siti Sarah Raissuddin yang bakal bergandingan dengan Misha Omar dan Ernie Zakri menghargai peluang yang diberikan, apatah lagi dapat beraksi bersama dua penyanyi yang diakui ramai memiliki karisma tersendiri.

“Ernie adalah penyanyi muda yang versatil dan mampu pergi jauh, sementara Misha pula sudah diakui keampuhan vokalnya. Bergabung dengan mereka membuatkan semangat saya berkobar-kobar mahu memberikan yang terbaik,” katanya.


GANDINGAN mantap Ernie, Sarah dan Misha bakal menghangatkan kemuncak ABPBH 31. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bakal beraksi dalam segmen istimewa, Sarah berkata, tugasan yang diberikan agak mencabar kerana lagu yang dibawanya itu memiliki kekuatan yang tersendiri.

“Penyanyi asal memberikan emosi yang hebat dalam lagu itu. Saya dapat merasai emosinya ketika menghayati lagu itu dan bukan mudah untuk melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan. Saya berharap penyanyi asal berpuas hati dengan segmen persembahan itu nanti,” katanya.

Segmen persembahan pada malam kemuncak ABPBH 31 menyaksikan gandingan artis generasi lama dan baharu menampilkan penyanyi antaranya Syamel, Ismail Izzani, Ramlah Ram, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Kugiran Masdo.

Persembahan mereka diiringi 12 pemuzik diketuai Faizal Uzir atau Lok U.

2999 dibaca
Berita Harian X