Ahad, 7 Oktober 2018 | 4:20pm
PENGASAS Alha Alfa, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil (kanan) melihat petugas melakukan persiapan menjelang malam kemuncak ABPBH 31 di PICC. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Booth Alha Alfa serikan malam kemuncak ABPBH 31

KUALA LUMPUR: Penaja utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Alha Alfa, turut memeriahkan malam kemuncak dengan membuka booth istimewa dan laluan bergemerlapan sempena acara berprestij terbabit.

Pengasasnya, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil, berkata artis yang melintasi permaidani merah boleh singgah di booth mereka untuk membuat sentuhan terakhir sebelum memasuki dewan.

“Di booth Alha Alfa juga kami sediakan cermin atau ‘vanity mirror’ dengan kaunter solekan. Jadi, artis yang melintasi permaidani merah boleh singgah di booth ini untuk membetulkan solekan.

“Kita tahu, artis wanita memang tidak boleh dipisahkan dengan solekan atau apa sahaja yang berkaitan dengan alat solek. Jadi, saya rasa booth ini sangat sesuai dan relevan diletakkan di sudut berdekatan pintu masuk.

“Selain itu, kita turut menghias laluan menuju pintu masuk acara dengan lampu supaya menyerlahkan lagi elemen glamor,” kata Abdul Al Halim atau Alha, yang juga jurusolek artis terkenal tanah air.

Malam kemuncak ABPBH 31 akan berlangsung malam ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Acara permaidani merah akan bermula jam 8 malam, manakala majlis penganugerahan berlangsung sejam kemudian.

Menurut Alha, ABPBH sebenarnya sudah tidak asing buat dirinya.

“Sejak lima atau enam tahun lalu, ramai juga kalangan calon bertanding disolek oleh saya ketika mereka hadir ke acara ini. Kini, saya tergerak hati untuk mengorak langkah lebih jauh dengan menaja acara gemilang terbabit.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun kosmetik Alha Alfa diperkenalkan, penerimaan daripada orang ramai cukup positif. Kami diberikan rezeki yang lebih, jadi kami memilih untuk sama-sama menjayakan ABPBH kali ini,” katanya ketika membuat tinjauan persiapan di lokasi acara.

Alha percaya, acara sedemikian bukan sekadar menyatukan fesyen dan anugerah.

“Kalau ingin dilihat dari sudut lebih jauh, artis juga sanggup bersolek cantik dan melaram dengan baju lawa untuk menghadiri acara seumpama ini. Jadi kini, anugerah, fesyen dan alat kosmetik pula bersatu,” katanya.

Bersempena kehadiran ABPBH 31, syarikat kosmetik Alha Alfa turut memperkenalkan edisi istimewa set empat barang solekan di bawah nama Infinity Pro Makeup Box.

Set terbabit boleh didapati dengan harga istimewa RM169 berbanding RM200 harga biasa. Ia mengandungi bedak asas, penyerlah bedak asas, pemerah pipi dan span.

“Kita memperkenalkan pakej istimewa ini sempena ABPBH 31. Malah, sebuah pertandingan turut diadakan dengan pemenangnya berpeluang membawa pulang hadiah berupa emas.

“Mereka hanya perlu mengambil gambar dengan gaya paling kreatif bersama produk istimewa itu di depan TV, ketika menonton malam kemuncak ABPBH 31,” katanya.

Dalam pada itu, Alha turut teruja menantikan acara gilang gemilang berkenaan yang akan dipancarkan secara langsung oleh TV3, selain boleh diikuti menerusi portal Tonton.

Mengenai gelaran Bintang Paling Popular, Alha meramalkan ia mungkin menjadi milik penyanyi, Khai Bahar.

“Saya perhatikan, sokongan diterima oleh Khai daripada peminatnya begitu hebat. Namun, ia sekadar ramalan.

“Saya percaya, apa sahaja boleh terjadi pada malam ini. Namun, saya puji semangat kelab peminatnya, Khai Bahar Empire, yang tidak ketinggalan menyertakan nama saya ketika kempen undi dilakukan,” katanya.

582 dibaca
Berita Harian X