Ahad, 23 Julai 2017 | 1:24pm
FARID Kamil hadir memberi sokongan kepada Diana pada sebuah acara di Litar Antarabangsa Sepang, baru-baru ini.- Foto ihsan instagram Diana Danielle
DIANA Danielle hadir di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto NSTP/ Aziah Azmee

Mengapa raya berasingan dengan suami, ini jawabnya: Diana

KUALA LUMPUR: Pelakon sensasi, Diana Danielle, enggan melayan sebarang spekulasi tidak berasas dicetuskan oleh netizen.

Menurut isteri kepada pengarah dan aktor, Farid Kamil itu, seandainya beliau memberikan maklum balas terhadap segala tanggapan yang diberikan, ia bakal membuka ruang untuk mereka terus membuat pelbagai andaian.

"Saya enggan menjadi sasaran mereka dan mangsa buli netizen. Lebih banyak perkara berfaedah yang perlu diberi tumpuan, selain dapat membawa kebaikan," katanya.

Menurut pelakon berdarah campuran itu lagi, baginya, netizen menjadi orang terakhir dalam senarai penting hidupnya.

Beliau berkata demikian selepas agak lama mendiamkan diri berhubung cerita dirinya dan suami meraikan Aidilfitri berasingan, baru-baru ini, sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi. Malah tidak kurang yang mengandaikan mahligai dibina mereka hampir lima tahun lalu mulai retak.

Ketika itu, Farid beraya di Kedah bersama dua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora. Malah, Farid turut memuat naik gambarnya bersama anak menaiki kereta api ETS di laman Instagram. Manakala Diana pula beraya di ibu kota.

Bagaimanapun, kehadiran Farid bersama anak sulung, Muhammad, 4, dan ibu mentuanya, Norsiah Ramli, untuk memberi sokongan kepada Diana pada sebuah acara di Litar Antarabangsa Sepang, baru-baru ini, bagai menangkis dakwaan kononnya mereka tidak lagi sehaluan.

Menurut aktres jelita itu, beliau terpaksa berpisah seketika dengan suami dan anak pada musim raya lalu kerana ibunya menghidap demam denggi dan memerlukan penjagaan rapi. Keadaan kesihatan ibunya menghalang beliau beraya bersama keluarga di Kedah.

"Seperti Farid, raya takkan bermakna jika ibu saya tidak sihat dan sekiranya tiada orang yang menjaganya. Anak pula gembira beraya di Kedah dan mereka mempunyai ramai sanak-saudara yang menyayangi mereka.

"Ia bukan (berlaku) seperti dakwaan ramai kerana tiada sebarang masalah terjadi antara kami. Saya cuma menjalankan tanggungjawab sebagai anak, itu saja. Saya percaya, orang lain akan buat benda yang sama kepada ibu mereka," katanya.

Pasangan selebriti ini berkahwin pada 3 November 2012.

Tahun lalu, cerita rumah tangga pasangan ini pernah mendapat perhatian ramai apabila Diana dilaporkan ke mahkamah bagi mendapat khidmat nasihat berkaitan hubungan mereka sebagai suami isteri.

24980 dibaca
Berita Harian X