Selasa, 8 Ogos 2017 | 12:41pm

Wany Hasrita terima ijazah

KUALA LUMPUR: Penat lelah penyanyi, Wany Hasrita, bergelut antara karier nyanyian dan pengajian berbaloi apabila memperoleh ijazah sarjana muda sains perubatan pada majlis graduan, semalam.

Wany yang menamatkan pengajian tiga tahun di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam, berkongsi detik gembira menghadiri majlis konvokesyennya di laman Instagram miliknya.

Dengan keterangan gambar berbunyi 'Pau (merujuk kepada pipinya) sudah 'grad', jelas menggambarkan kegembiraannya.

Dihubungi BH Online, Wany bersyukur menamatkan pengajian ketika sibuk membina nama dalam bidang seni.

"Insya--Allah, saya merancang menyambung belajar di peringkat sarjana. Cuma semuanya bergantung kepada kesesuaian waktu. Kalau tiada aral, saya akan ambil bidang sama," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu itu memberitahu, agenda seninya diteruskan seperti biasa.


Penyanyi, Wany Hasrita. - Foto NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya akan melancarkan single solo kedua berjudul Rintihan Rindu, lusa. Lagu itu ciptaan Ibnu dan Gouffran, yang menghasilkan lagu Menahan Rindu.

"Saya harap akan terus berjaya dalam lapangan pendidikan mahupun nyanyian," katanya.

April lalu, Wany yang juga artis naungan syarikat rakaman, Fantasia Music City (FMC), melancarkan single duet bersama Tajul Ariff berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu.

15007 dibaca
Berita Harian X