Sabtu, 12 Ogos 2017 | 5:44pm
ACHEY hadir pada malam gala filem Abang Long Fadil 2. - Foto Mahzir Mat Isa

Achey tertekan dilarang buat lawak

KUALA LUMPUR: Sinonim dengan watak komedi, Achey mengakui gusar memikirkan penerimaan peminat apabila tampil dengan karakter serius dalam filem terbaharu arahan Syafiq Yusof, Abang Long Fadil 2.

Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, berkata beliau cuba menyuntik sedikit unsur komedi ketika menjayakan babak pertama filem itu tetapi dihalang Syafiq yang memintanya supaya mencari pembaharuan dalam lakonan.

"Saya agak takut, malah tertanya-tanya mampukah saya menjual bakat apabila membawa watak serius. Sebagai pengarah, Syafiq yakin saya mampu menyerlah dan tidak hanya terikat dengan watak komedi.

"Sudut pandangannya itu membawa saya ke tahap berbeza, sekali gus menjadikan lakonan saya lebih fleksibel kerana berani keluar dari ruang selesa," katanya.

Achey yang pernah menjulang trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 itu tidak menafikan, agak tertekan pada awal penggambaran kerana sukar menyesuaikan diri dengan tuntutan karakter itu.

"Saya sudah terbiasa berlawak, tetapi apabila tidak boleh melakukannya, saya agak tertekan. Alhamdulillah, ramai yang memberikan komen positif terhadap percubaan terbaharu saya itu," katanya

yang membawa peranan Ali, jurukamera yang bergandingan dengan Yana lakonan Tania Hudson.

Abang Long Fadil 2 terbitan bersama Skop Production dan Astro Shaw bakal menemui penonton bermula 24 Ogos ini.

Ia turut menampilkan Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, Wak Doyok dan A Galak.

Terlebih dulu diperkenalkan menerusi filem Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa, Achey berkata, beliau menemui kepuasan tersendiri apabila beraksi di layar perak.

"Jika mahu mengekalkan bakat dan nama, produksi TV menjadi pilihan kerana sasaran penontonnya lebih besar. Tetapi, untuk mengembangkan profil dan mencari kelainan, filem membantu menyerlahkan bakat saya sebagai artis serba boleh," katanya.

Achey berkata, jadual kerjayanya terus sibuk apabila bakal menyertai pertandingan Supersponstan Superstar bermula bulan depan.

"Selain itu, sejak awal tahun lalu saya turut terbabit dalam segmen Prof Achey di radio Era FM pada setiap petang," katanya.

Berita Harian X