Ahad, 13 Ogos 2017 | 7:07pm
PELAKON, Johan As'ari. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Johan tak segan kongsi video mengaji al-Quran

KUALA LUMPUR: Pelakon, Johan As'ari, 31, mengakui gemar memuat naik video membaca ayat suci al-Quran di Instagram buat tatapan hampir 250,000 pengikutnya.

Johan atau nama penuhnya Johan Ariff As'ari berkata, meskipun ada ketika wujud beberapa kesilapan kecil dari segi bacaan, beliau tidak pernah berasa segan untuk berkongsi aktiviti terbabit, asalkan dirinya dapat menarik minat golongan muda membaca kitab suci itu.

"Saya suka, malah sudah biasa mengaji sejak sekian lama.

"Saya juga suka berkongsi bacaan al-Quran dengan semua orang kerana pahala mereka yang mendengar sama saja dengan pahala orang yang membacanya.

"Pada masa sama, saya tidak berasa adanya halangan untuk berkongsi kerana kesalahan yang tidak disengajakan dalam bacaan adalah dosa kecil," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Johan turut menasihatkan peminatnya yang beragama Islam supaya rajin mengaji al-Quran kerana ia dapat memberikan ketenangan dalam hati.

Malah, pelakon filem Juvana itu mahu masyarakat memperkuatkan hati dengan agama meskipun sedang menuju ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Rajin-rajinlah mengaji al-Quran agar hati sentiasa tenang. Hati yang tenang pula memudahkan kita untuk melepaskan segala perkara keduniaan yang bersifat sementara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Johan kini terbabit dengan penggambaran drama 13 episod arahan Zul Huzaimy berjudul Jurnal Suraya, bergandingan dengan Nad Zainal.

Johan juga bakal tampil menerusi filem Tujuh, arahan Raja Mukhriz, yang bakal ditayangkan pada akhir tahun ini.

4715 dibaca
Berita Harian X