Ahad, 13 Ogos 2017 | 7:09pm
PELAKON, Datin Eina Azman bersama suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden dan anak kembar mereka, Karl Kareef dan Arianna Aubrey. - Foto Munira Abdul Ghnai

Eina sedih lihat gelandangan Syria di Paris

KUALA LUMPUR: Ketika menikmati percutian bersama suami di Perancis, baru-baru ini, pelakon, Eina Azman, meluahkan rasa sayu di hatinya melihat gelandangan di negara itu.

Eina atau nama penuhnya Ainur Syakina Azman, 22, mengaku hatinya amat tersentuh, lebih-lebih lagi melihat kanak-kanak kecil dari Syria bersama keluarga mereka menahan kelaparan.

"Alhamdulillah, saya seronok apabila dapat meluangkan masa berdua dengan suami. Tetapi dalam kegembiraan, kami juga rasa agak sedih melihat anak-anak kecil tidur di tepi jalan menahan lapar bersama keluarga mereka. Kebanyakannya pula dari Syria.

"Mereka tidak meminta duit pun daripada saya, tetapi hanya makanan. Saya memuat naik video (di Instagram) berhubung perkara itu kerana sangat tersentuh hati, dan teringat pada anak-anak.

"Bayangkan kalau kita berada di tempat mereka. Bayangkan kalau nak-anak kita yang tidur di kaki lima dalam keadaan sejuk. Kalau tidak mampu menolong dari segi kewangan, kita tolong mereka mengikut kemampuan masing-masing. Janji ikhlas," luah Eina di Instagram miliknya.

Menerusi video yang dimuatnaik beberapa hari lalu, Eina dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden Abdullah, membeli kira-kira 50 bungkusan makanan daripada sebuah restoran dan mengagihkannya kepada gelandangan di kawasan itu.

Tindakan pasangan itu membuatkan rata-rata netizen memuji sikap mereka yang berhati mulia.

Sementara itu, Eina turut menasihati orang ramai untuk bersyukur dengan kehidupan masing-masing yang mungkin jauh lebih baik berbanding sesetengah insan lain.

"Kalau kita rasa diri kita susah, ramai lagi yang hidup dalam kesusahan. Bersyukurlah sentiasa dengan apa saja yang kita ada," tuturnya.

Pelakon itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan berkenaan pada 31 Ogos 2014. Mereka dikurniakan sepasang anak kembar, Arianna Aubrey dan Karl Kareef, yang kini berusia setahun 6 bulan.

4852 dibaca
Berita Harian X