Isnin, 4 September 2017 | 5:40pm
Pelakon, Hannah Delisha. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Hannah Delisha ke KL untuk kerja

KUALA LUMPUR: Drama rantaian pertama dibintanginya, Mencintaimu Mr Photographer, melonjakkan nama bakat baharu berasal dari Singapura, Hannah Delisha, ke pentas hiburan tempatan.

Sekelip mata, nama Hannah menjadi sebutan ramai. Malah, akaun Instagram gadis ini sudah mengumpul lebih 600,000 pengikut dalam tempoh beberapa bulan saja.

Berganding dengan Syafiq Kyle dalam drama itu, Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch mula diburu gosip nakal kononnya menjalin cinta lokasi dengan hero kacak itu.

"Saya ada pendirian. Saya selesa berganding dengan Syafiq sebagai working buddy... Itu saja.

"Saya datang ke Kuala Lumpur dengan niat bekerja. Saya masih muda untuk fikir soal hati atau cinta. Jadi, biarlah saya fokus kerja," katanya kepada BH Online.


Berganding dengan Syafiq Kyle dalam drama Mencintaimu Mr Photographer.

Hannah berkata, pada usianya 21 tahun, banyak perkara lain yang perlu diutamakan terutama karier lakonan.

"Selagi peminat dan penonton suka gandingan saya dengan Syafiq atau pelakon lain, saya terbuka... Itu suatu bonus.

"Kalau dapat tawaran sesuai, saya sahut cabaran," katanya

Dalam perkembangan lain, Hannah tidak sabar mempromosikan single keempat nyanyiannya berjudul Masih Ada Esok.

Sebelum berlakon, Hannah memulakan langkah dalam bidang seni sebagai penyanyi. Hannah pernah mengikat kontrak bersama syarikat rakaman Alibi Music ketika berusia 17 tahun.

Hannah juga bakal membintangi filem pertamanya yang diarah Osman Ali berjudul Langsuir.

8148 dibaca
Berita Harian X