Selasa, 12 September 2017 | 3:32pm
DATUK Ray Imran (belakang) bersama Joy Revfa (depan) hadir ke mahkamah bagi pengurusan kes permohonan pengesahan pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Datuk Ray timbang ambil tindakan undang-undang

SHAH ALAM: Datuk Ray Imran menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak benar membabitkan kemelut perkahwinan bekas isterinya, Joy Revfa.

Bekas suami Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, 30, berkata, ia berikutan pelbagai kenyataan tidak benar dan bercanggah yang disiarkan beberapa penerbitan, membabitkannya, yang disiarkan sebelum ini, turut mencalarkan imejnya sebagai pengusaha produk kosmetik.

"Memang ia menjejaskan imej saya kerana mereka di luar sana (orang awam) tidak tahu sepenuhnya apa yang berlaku.

"Mereka ambil (maklumat) sana sikit, ambil sini sikit dan gabungkan sebelum membuat kesimpulan sendiri. Itu yang saya kesalkan.

"Sepatutnya mereka kena mendengar kenyataan semua pihak kerana saya pun tidak boleh bercakap dengan semua orang," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes permohonan pengesahan nikah antara Joy dan dirinya, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.

Beliau hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bersama peguamnya, Hazwan Mohd Nor.Ray, 46, berkata, beliau sentiasa memberikan kerjasama penuh seperti sebelum kemelut itu kerana mahu proses perkahwinan antara Joy dan penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun, 33, berjalan lancar.

Namun katanya, beliau kecewa selepas isu status pernikahan kedua-duanya timbul seolah-olah beliau tidak memberikan kerjasama.

"Sepatutnya permohonan cerai taklik ini tidak perlu dipohon. Pengesahan cerai itu sepatutnya saya yang lakukan dan sepatutnya bila mereka tidak dapat, mereka sepatutnya menghubungi saya. Saya juga tidak dimaklumkan ketika mereka ke sana," katanya.

Sementara itu, peguam syarie Ismail Mohd yang mewakili Joy berkata, Mahkamah Tinggi Syariah sudah menetapkan 19 September ini untuk pendengaran permohonan pengesahan pernikahan antara anak guamnya dengan Ray di Thailand pada 2015.

Katanya, sebaik permohonan yang dibuat oleh Joy itu didengar dan dibenarkan mahkamah, barulah permohonan untuk pengesahan perceraian dibuat.

"Hari ini sepatutnya sebutan kes untuk mendapatkan tarikh segera bagi kes ini didengar," katanya.

Difahamkan permohonan pengesahan pernikahan antara Joy dan Ray difailkan wanita itu pada 23 Ogos lalu.

Ditanya status perkahwinan antara Joy dan Hafiz, Ismail berkata, sekiranya mahkamah menerima permohonan pengesahan pernikahan di Thailand itu dan perceraian, isu yang dibangkitkan Hafiz itu dianggap selesai dan tidak timbul isu sama ada Joy akan berada dalam tempoh edah.

"Kita tunggu keputusan mahkamah. Hari ini adalah pengurusan kes dan penyerahan dokumen," katanya.

Kemelut perkahwinan antara Joy dan Hafiz terdedah pada 23 Mei lalu apabila Hafiz membangkitkan perkahwinan mereka tidak sah.

Berikutan itu, wanita berkenaan memfailkan permohonan memfarakkan (perpisahan kehakiman) pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 21 Ogos lalu.

57922 dibaca
Berita Harian X