Rabu, 13 September 2017 | 4:50pm
Thanuja Ananthan

Thanuja tak pernah warnakan rambut

KUALA LUMPUR: Bekas ratu cantik, Thanuja, tidak pernah mewarna dan meluruskan rambut biarpun dirinya model.

Thanuja memberitahu lebih selesa menjadi diri sendiri dan menampilkan keaslian tanpa membuat perubahan.

"Katalah apa saja, saya selesa menjadi diri sendiri dan yakin dengannya. Bagi saya, itu lebih baik.

"Mengapa perlu ikut orang atau berbuat sesuatu kerana pandangan orang lain," katanya kepada BH Online.

Thanuja pernah menolak beberapa tawaran untuk menjadi wajah dan jurucakap produk memutihkan kulit kerana berasa tidak memerlukan semua itu.

Thanuja yang menyertai pertandingan Master Chef Malaysia musim pertama, mengaku pernah dikritik kerana berkulit gelap dan berambut kembang.

"Saya tidak perlu jadi putih sebab saya memang dilahirkan begini. Saya percaya boleh berjaya dengan apa yang saya ada.

"Bukan sombong, tapi bagi saya, apa guna saya jadi wakil produk kalau saya tak selesa atau memerlukannya," katanya.

Thanuja juga pernah berlakon dalam filem Temuan Takdir dan mengacarakan program Best in Town.

1632 dibaca
Berita Harian X