Rabu, 13 September 2017 | 7:28pm
Nurul Elfira Loy. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

Elfira beli Mercedes-Benz

KUALA LUMPUR: Impian pelakon Elfira Loy untuk memiliki kereta idaman, Mercedes-Benz A-Class A200 akhirnya tercapai, hasil keuntungan daripada menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan lalu.

Elfira berkata, dia sudah lama mengimpikan untuk memiliki kenderaan sendiri namun, disebabkan takut memandu, niat itu sering tertangguh.

"Saya sudah lama memiliki lesen, cuma tidak mempunyai keyakinan untuk memandu bersendirian. Kebetulan, hasil jualan menerusi jenama Elfira Loy sepanjang Ramadan lalu begitu memberangsangkan.

"Jadi, ibu yang menjaga akaun perniagaan membantu menguruskan pembelian kereta idaman itu. Saya terkejut ketika mahu keluar bekerja, kenderaan itu sudah ada di depan rumah," katanya

Ditanya bagaimana dia melakar kejayaan pada usia muda, Elfira berkata, sepanjang 10 tahun pembabitan dalam dunia seni, sebahagian daripada hasil pendapatannya akan diasingkan sebagai simpanan.

Sekiranya mahu membeli sesuatu, Elfira akan berusaha mendapatkan barangan yang menjadi impiannya itu menerusi perniagaan.

"Saya tidak akan membeli barangan yang diinginkan menggunakan wang hasil lakonan. Ia hanya digunakan untuk barangan keperluan harian dan berkaitan kerjaya seni.

"Jika saya mahukan sesuatu, saya akan berusaha seperti memulakan perniagaan," tuturnya.

Menyentuh perkembangan kerjaya seni, Elfira memaklumkan, dia sedang menjalani penggambaran drama Kerna Syurga Bukan Percuma untuk siaran Astro Oasis.

11056 dibaca
Berita Harian X