Khamis, 14 September 2017 | 12:34pm
NEDIM Nazri dan Nora
NORA menghadiri majlis pernikahan temannya dari Indonesia, Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran Engku Zainal Abidin

Nora Danish ada baby bump?

KUALA LUMPUR: Netizen mula berteka-teki mengenai kemungkinan aktres jelita, Nora Danish berbadan dua.

Spekulasi timbul apabila foto Nora menghadiri majlis pernikahan temannya dari Indonesia, Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran Engku Zainal Abidin yang dikongsi di laman sosial, baru-baru ini, menampakkan dirinya sedikit berisi dengan tanda baby bump.

Nora yang dihubungi BH Online, bagaimanapun belum bersedia mengulas kesahihan gosip mendakwa dirinya sedang hamil.

"Bukan niat saya mahu mengelak atau sengaja mengunci mulut. Saya lebih selesa untuk tidak terburu-buru.

"Saya bukan lari atau mengelak, sebaliknya belum bersedia untuk mengulas. Saya akan berkongsi perkara ini kepada umum, tidak lama lagi," katanya.

Sebelum ini, Nora yang menikahi Nedim Nazri pada 30 Mac lalu, pernah dilaporkan tidak menolak andai ditakdirkan beroleh rezeki mendapat zuriat dalam tempoh terdekat.

Melalui perkahwinan lalu, Nora dikurniakan anak lelaki diberi nama Putra Rayqal Rizal Ashram.

Dalam perkembangan lain, Nora memberitahu, dia sedang menimbang beberapa tawaran lakonan.

"Saya sedang menanti tayangan dua filem iaitu Makrifat Cinta berganding dengan Syamsul Yusof dan Bukan Cinta Malaikat.

"Filem Bukan Cinta Malaikat sudah ditayangkan di Indonesia tetapi hanya menemui penonton di Malaysia, tahun depan," katanya yang membintangi filem Surga Yang Tak Dirindukan 2 bersama Bella.

15101 dibaca
Berita Harian X