Khamis, 14 September 2017 | 3:05pm
ANGGOTA nasyid kumpulan Devotees, Adi Akmal akan bernikah dengan anak pengarah Aziz M Osman, Puteri Nur Asyiqin.
ANGGOTA nasyid kumpulan Devotees, Adi Akmal akan bernikah dengan anak pengarah Aziz M Osman, Puteri Nur Asyiqin.

Aziz M Osman bakal sambut menantu

KUALA LUMPUR: Anggota nasyid kumpulan Devotees, Adi Akmal Sehrom, 31, bakal bernikah dengan Puteri Nur Asyiqin Aziz, 24, pada 30 September ini.

Puteri Nur Asyiqin ialah anak sulung pengarah terkenal, Aziz M Osman melalui perkahwinan kedua dengan, Nor Aliah Lee Abdullah.

Adi memberitahu, dia mengenali bakal isterinya itu, dua tahun lalu.

"Majlis pernikahan akan diadakan di kediaman ibu Puteri Nur Asyiqin di Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya, pada sebelah pagi disusuli majlis keraian di lokasi sama.

"Pada sebelah malam, majlis resepsi akan diadakan di Putrajaya. Majlis bertandang pula diadakan di Sungai Buloh pada 7 Oktober depan," katanya kepada BH Online.

Adi dan Puteri Nur Asyiqin mengikat pertunangan, tahun lalu.

Menceritakan detik pertemuan mereka, Adi berkata, mereka diperkenalkan sepupunya.

"Pada mulanya, saya tidak tahu dia anak pengarah filem. Kami berjumpa buat kali pertama pada Ramadan 2015 di sebuah pusat beli belah di Damansara. Ketika itu, keluarga kami pun berbuka puasa bersama-sama.

"Sepanjang mengenali keluarganya, mereka sangat sporting dan mudah didekati. Saya tak ada masalah," katanya.

Adi teringat bapa tunangnya pernah berseloroh dan bertanya apakah dirinya sudah berlatih melafaz akad nikah kerana beliau akan menikahkan mereka.

Mengenai Puteri Nur Asyiqin, dia menyifatkan bakal isterinya sangat istimewa.

"Dia seorang yang mudah dan tak cerewet. Suka berfikir secara praktikal, dia cukup meminati drama Korea," katanya.

Selain aktif bersama kumpulan nasyid Devotees sejak 12 tahun lalu, Adi juga bertugas di stesen TV Al Hijrah sebagai wartawan kanan, penerbit dan pembaca berita sejak 2010.

35907 dibaca
Berita Harian X