Sabtu, 16 September 2017 | 1:00pm
Syafiq Kyle dan Hannah Delisha. - Foto Shiraz Yasmine Ali

Syafiq Kyle, Hannah Delisha makin serasi

KUALA LUMPUR: Keserasian yang dipertontonkan gandingan Syafiq Kyle dan Hannah Delisha dalam drama Mencintaimu Mr Photographer menarik minat pengarah prolifik, Osman Ali untuk membawa mereka ke layar perak.

Disatukan dalam filem terbaharu arahannya, Langsuir, pengarah yang dikenali menerusi deretan produksi seperti Anak Halal, Ombak Rindu dan Sejoli itu berkata, pemilihannya tidak tersasar apabila mereka mempamerkan keserasian yang sama ketika sesi latihan berlangsung.

"Saya cukup suka melihat gandingan Syafiq dan Hannah dalam drama itu. Ketika sesi uji bakat, saya sudah nampak kesesuaian watak utama yang akan dibawakan Hannah iaitu sebagai langsuir.

"Cuma untuk gandingannya, saya masih tercari-cari pelakon lelaki yang sesuai mendampingi Hannah. Memandangkan Langsuir adalah filem bercorak remaja, kami menyenaraikan beberapa nama pelakon lelaki muda, termasuk Syafiq.

"Hasil perbincangan, ramai menyambut baik usaha untuk menyatukan mereka kembali. Sokongan jitu peminat kedua-dua pelakon itu juga meyakinkan yang saya tidak salah dalam membuat percaturan," katanya.

Osman berkata, filem genre romantik seram yang disuntik elemen komedi itu sudah memulakan penggambarannya semalam di Pulau Langkawi, Kedah selama 25 hari.

Kata Osman lagi, sebelum membuat pemilihan itu, beliau sempat menghubungi pengarah Mencintaimu Mr Photographer, Eyra Rahman, yang juga kawan baiknya.

"Eyra pernah menjadi pembantu saya ketika mengarahkan Anak Halal. Ketika sedang mencari-cari gandingan baharu yang sesuai untuk menjayakan Langsuir, saya ada bertanyakan Eyra mengenai Syafiq dan Hannah.

"Alhamdulillah, Eyra memberikan reaksi yang cukup positif selain meyakinkan saya supaya memberikan mereka peluang. Saya optimis dan percaya mereka tidak akan menghampakan saya," katanya.

5908 dibaca
Berita Harian X