Rabu, 4 Oktober 2017 | 2:47pm
SYAFIQ Kyle dan Hannah Delisha

Hannah, Syafiq mudah serasi di lokasi Langsuir

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hannah Delisha, mengaku tiada masalah untuk beliau dan rakan gandingan, Syafiq Kyle, mencipta keserasian menerusi filem terbaru mereka, Langsuir.

Mula menjalani penggambaran sejak beberapa minggu lalu, filem arahan Osman Ali itu menemukan dua pelakon muda berkenaan buat kali kedua selepas mereka julung kali bergandingan dalam drama, Mencintaimu Mr Photographer.

Penggambaran naskhah bercorak seram dan romantik terbabit dijadualkan memakan masa selama 25 hari.

"Kami pernah bekerjasama sebelum ini, jadi ia bukanlah masalah besar untuk saya dan Syafiq mendapatkan keserasian di lokasi.

"Cuma bezanya, jika dalam drama sebelum ini kami bercinta sebagai pasangan manusia, kini Syafiq yang melakonkan karakter bernama Azlan berkasih dengan watak bukan manusia lakonan saya," katanya yang diberikan peranan hantu bernama Suri dalam filem itu.

Bercerita mengenai pengalamannya membintangi filem terbabit, Hannah, 21, berkata pihak produksi dan pelakon perlu berdepan cabaran tersendiri termasuk lokasi yang sukar serta keadaan cuaca tidak menentu.


HANNAH Delisha bergandingan kali kedua dengan Syafiq Kyle dalam filem terbaru, Langsuir.

"Ia memang cabaran besar, terutama apabila membabitkan faktor cuaca. Ketika ini, umpamanya, hujan dan ribut silih berganti melanda lokasi. Namun kami berharap semuanya dapat dijalankan dengan baik," kata artis kelahiran Singapura ini, yang berada di Langkawi ketika dihubungi.

Sementara itu, sewaktu ditanya mengenai pemilihan dua pelakon berkenaan bagi judul arahan terbarunya, Osman berkata, beliau suka melihat gandingan terbabit dalam drama yang mendapat perhatian ramai ketika ia menemui penonton di kaca televisyen, Julai lalu.

"Ketika sesi uji bakat diadakan, Hannah sendiri sudah menampakkan kesesuaian dirinya dengan watak langsuir. Begitupun ketika itu, saya terfikir, siapa pula pelakon lelaki yang sesuai digandingkan dengannya dalam filem ini?

"Berikutan ia sebuah cerita bercorak remaja, jadi pada awalnya kami menyenaraipendek beberapa bakat yang masih muda dan seorang daripada mereka ialah Syafiq.

"Selepas pemilihan dilakukan, nampaknya ramai yang menyambut baik gandingan ini. Malah, sokongan peminat terhadap kedua-dua artis ini juga sangat jitu," katanya.

Osman juga berkata, keserasian antara kedua-duanya ketika ditunjukkan dalam drama berkenaan kini bersambung ke filem arahannya itu.

"Malah, ketika sesi latihan lagi, saya sudah nampak mereka berdua memang cukup serasi," ujar pengarah yang turut menunggu sebuah lagi filem arahannya memasuki panggung tidak lama lagi, Pinjamkan Hatiku, lakonan Ayda Jebat, Shaheizy Sam dan Farid Kamil.

6178 dibaca
Berita Harian X