Sabtu, 28 Oktober 2017 | 3:43pm
EMMA Maembong dan Kamal Adli.

Sekadar beri sokongan untuk Kamal Adli

KUALA LUMPUR: Pelakon Emma Maembong menegaskan, kehadirannya pada kemuncak program realiti, Super Spontan Supertar malam tadi, sekadar memberi sokongan dan bukan bermakna kembali menjalin cinta dengan bekas kekasihnya, Kamal Adli.

Pemilik nama sebenar, Fatimah Rohani Embong, 25, berkata, kehadirannya itu juga sebagai memenuhi janjinya kepada Kamal untuk memberikan semangat sekiranya dia berjaya melangkah ke final pertandingan itu.

"Saya pernah berjanji dengan Kamal untuk hadir memberikan sokongan sekiranya dia layak ke peringkat akhir. Saya hanya mengotakan janji yang pernah dibuat dulu. Jadi, jangan gaduh-gaduh kerana kami masih berkawan.

"Salahkah kami berkawan biarpun tidak mempunyai hubungan istimewa lagi? Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kita tidak tahu siapa jodoh kita. Memandangkan saya masih solo, tiada salah jika saya berkawan dengan sesiapa saja," luah Emma di laman Instagram.

Kehadiran Emma pada pusingan akhir program realiti itu mencetuskan spekulasi cintanya dan Kamal kembali bertaut terutama selepas pelakon kelahiran Terengganu itu memuat naik gambar bersama bekas kekasihnya di Instagram.

Emma turut memuat naik gambar bersama bekas kekasihnya terdahulu, Zizan Razak untuk membuktikan dia tidak pernah bermusuh dengan mana-mana bekas teman lelakinya.

"Adakah anda jenis yang akan bermusuh bertahun-tahun dengan bekas kekasih dan saling menyekat antara satu sama lain di media sosial? Salahkah kami berkawan biarpun tidak mempunyai hubungan istimewa?," katanya.

Terdahulu, Emma membuat kenyataan hubungan cintanya lebih tiga tahun bersama Kamal titik noktah kerana kehadiran orang ketiga iaitu pelakon, Zahirah Macwilson yang bergandingan dengan bekas kekasihnya dalam drama rantaian, Duda Pujaan Dara.

Pendirian Emma itu bagaimanapun, kembali mencetuskan tanda tanya apabila semalam mengakui, kenyataan itu dibuat ketika dia sedang marah dan sakit hati.

Pelakon utama filem Kimchi Untuk Awak itu menegaskan, dia juga tidak berani mengesahkan enggan lagi bersama Kamal kerana soal jodoh adalah ketentuan-Nya.

15580 dibaca
Berita Harian X