Ahad, 12 November 2017 | 6:35pm
NAZIM Othman dan isterinya, Bella Dally ketika bercuti.

Kerap melancong, Nazim dituduh tiada 'job'

KUALA LUMPUR: Pelakon Nazim Othman 'naik hantu' apabila netizen mendakwa dia dan isterinya, Bella Dally hidup boros kerana kerap melancong.

Nazim memberitahu sejak berusia 19 tahun lagi, dia suka bercuti ke luar negara dengan konsep bajet dan 'backpacking'.

"Dulu saya gemar bercuti dengan cara 'backpacking', menaiki kereta api dan menghabiskan masa perjalanan yang panjang sehingga badan lesu. Maklumlah, ketika itu, zaman remaja, bajet agak padat.

"Sekarang, bolehlah berjalan dengan selesa tetapi tidaklah semewah dan semahal disangka. Saya suka mencari percutian murah melalui carian internet di mana maklumat di hujung jari. Takkan nak mencari cerita gosip saja?

"Apabila kita bijak menggunakan teknologi, kita akan dapat banyak maklumat berguna termasuk pakej percutian. Banyak promosi menarik yang boleh kita dapat," katanya yang meluahkan perasaan melalui status di Instagram.

Melihat akaun Instagram milik Nazim, laman itu dipenuhi foto percutiannya di pelbagai lokasi termasuk terbaru di Phuket, Thailand.

Sehubungan itu, netizen membuat pelbagai andaian kononnya Nazim dan isteri hidup boros selain tidak lagi menerima tawaran kerja atau 'job' berikutan banyak menghabiskan masa bercuti.

Menafikan dakwaan itu, Nazim berkata, dia masih aktif malah terbabit dengan penggambaran drama 80 episod berjudul Monalisa yang diadaptasi daripada siri Korea, The Women's Room.

"Alhamdulillah, rezeki masih lancar atas kurniaanNya. Sekarang dalam proses penggambaran drama Monalisa. InsyaAllah, ia akan mula disiarkan di slot Tiara, Astro Prima mulai Februari depan.

"Ada orang kata saya ada banyak masa berjalan. Drama Monalisa ini panjang, jadi apabila ia tidak membabitkan babak saya, jadi saya bercutilah," katanya.

5616 dibaca
Berita Harian X