Ahad, 12 November 2017 | 9:55pm
LUFYA Omar bersama suami, Che Muhammad Hafiz Che Baharom dan anak mereka yang hanya diperkenalkan sebagai 'Baby L'. - Foto Instagram Lufya Omar

'Baby L' pengikat kasih Lufya, suami

KUALA LUMPUR: Pelakon Lufya Omar selamat melahirkan bayi perempuan di Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara, pada jam 6.32 petang semalam.

Berkongsi berita gembira itu di Instagram, Lufya memberitahu, bayi seberat 3.39 kilogram yang hanya diperkenalkan sebagai 'Baby L', disambut doktor peribadinya dengan dibantu suami, Che Muhammad Hafiz Che Baharom.

"Alhamdulillah, syukur puteri 'Baby L' selamat dilahirkan secara normal. Anak kami berada dalam keadaan sempurna dan cukup sifatnya.

"Terima kasih Dr Arifah yang dibantu suami menyambut kelahiran 'Baby L' dengan baik," katanya.

Lufya turut meluahkan rasa terharu kerana suaminya memberi sokongan ketika berada dalam bilik bersalin.

"Daddy dah macam pasukan sorak di bilik bersalin semalam. Untungnya Baby L, daddy sendiri yang potong tali pusatnya. Amboi... Anak daddy sangat!" katanya.

Sementara itu, Lufya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti berdoa dan memberi kata-kata semangat kepadanya.

"Terima kasih kepada seluruh keluarga saya dan suami yang tidak putus-putus mendoakan. Tidak lupa juga kepada sahabat, penyokong industri dan pengikut yang memberi kata-kata semangat," katanya.

Lufya dan Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November tahun lalu.

4323 dibaca
Berita Harian X