Isnin, 13 November 2017 | 12:13pm
PELAKON, Syazwan Zulkifly, ketika hadir pada sidang media memperkenalkan program siaran TV9, Perang Bibir, di Kuala Lumpur. Foto - Mahzir Mat Isa.

2 tahun tak muncul di sebuah saluran TV

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syazwan Zulkifly, reda apabila sudah hampir dua tahun tidak menerima undangan lakonan untuk siaran sebuah saluran televisyen.

Katanya, beliau menganggap tiada tawaran membintangi drama untuk tayangan saluran berkenaan sebagai bukan rezeki.

"Sebelum ini, saya pernah dengar pihak stesen televisyen terbabit ada mengeluarkan kenyataan diri saya tidaklah disenaraihitamkan oleh mereka. Kalau betul kenyataan berkenaan, saya bersyukur.

"Begitupun, apa yang selalu berlaku, jika ada syarikat produksi yang menawarkan saya peluang berlakon untuk saluran berkenaan, memang nama saya takkan lepas.

"Saya sendiri kurang pasti apa masalah sebenarnya? Apa pun, saya baik-baik saja dan rezeki lakonan pun masih ada, alhamdulillah," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, ada desas-desus mengatakan kononnya Syazwan, 30, tidak dapat muncul di stesen terbabit berikutan kontroversi pernah tercetus, membabitkan dirinya dengan bekas kekasih yang pernah bekerja di syarikat penyiaran itu.

Pelakon yang terkenal dengan watak antagonis ini turut menyangkal dakwaan graf kerjaya seninya semakin menurun.

"Sebenarnya, sehingga kini ada saja tawaran berlakon yang saya terima. Kerjaya seni saya tidak pernah perlahan sampai sekarang. Pendek kata, saya tidak pernah bercuti lama, tanpa kerja lakonan.

"Cuma, undangan yang datang itu bukanlah untuk karya siaran televisyen utama. Namun begitu, ia tidak bermakna saya selesa dengan sesebuah saluran televisyen saja.

"Sebaliknya, saya mempelbagaikan kemunculan dan memastikan ada jarak antara sesebuah drama yang dijayakan. Kalau boleh, saya tidak mahu terlalu kerap muncul di sesebuah saluran," katanya yang kini melunaskan baki penggambaran filem, Cinta Romusha.

6294 dibaca
Berita Harian X