Rabu, 15 November 2017 | 11:14am
BLAKE Shelton. - Foto Reuters

Juri The Voice, Blake Shelton lelaki terseksi di dunia

LOS ANGELES: Juri pertandingan realiti nyanyian The Voice, Blake Shelton, 41, diumumkan sebagai 'lelaki paling seksi di dunia' tahun ini oleh majalah People.

"Saya menganggap diri saya seorang yang hodoh sepanjang hidup. Tetapi, jika, saya boleh menjadi seorang yang seksi selama setahun, saya sedia menerimanya," kata Shelton dalam satu kenyataan, semalam.

Penyanyi 'country' kelahiran Oklahoma itu mula terkenal selepas dilantik sebagai juri dan mentor dalam pertandingan realiti 'The Voice' terbitan stesen televisyen NBC pada 2011.

Album terbaharunya yang bertajuk Texoma Shore dilancarkan awal bulan ini.

Sementara itu, Shelton ketika memberitahu majalah People berkata, beliau tidak sabar untuk 'mengusik' rakan juri dalam The Voice dan penyanyi Maroon 5, Adam Levine dengan anugerah lelaki terseksi yang diterimanya itu.

Levine pernah memenangi anugerah yang sama pada 2013.

Shelton yang pernah berkahwin dengan penyanyi country wanita, Miranda Lambert, kini menjalin hubungan dengan bintang pop, Gwen Stefani.

Katanya, Stefani memberinya galakan untuk menerima gelaran 'lelaki paling seksi di dunia' berkenaan.

Selain Shelton, gelaran itu pernah diberikan kepada Dwayne 'The Rock' Johnson, Brad Pitt, George Clooney, Johnny Depp, Harrison Ford, Ryan Reynolds dan David Beckham. - Reuters

1077 dibaca
Berita Harian X