Khamis, 7 Disember 2017 | 9:49pm

Saya tak terlantar - Elyana

SHAH ALAM: Penyanyi Elyana menafikan dirinya terlantar sakit sebaliknya boleh bekerja seperti biasa biarpun menghidap kanser limfoma tahap empat.

Elyana atau nama penuhnya, Erneelya Elyana Emrizal, 30, berkata sesekali dia hanya lesu dan mudah letih.

"Saya masih boleh bekerja dan tidak terlantar seperti didakwa sesetengah pihak. Kadang-kala saya rasa lesu dan mudah penat, namun masih ada kudrat untuk menyanyi.

"Saya juga ada rasa seperti sukar bernafas dan sesak dada pada sebelah malam, namun tidaklah sehingga terlantar.

"Sebelum ini, saya memilih merahsiakan sakit ini kerana tidak mahu mendapat simpati semata-mata," katanya pada majlis solat hajat dan doa selamat anjuran kelab peminatnya, Elyana Official Fan Club atau Elo FC di sebuah masjid di Seksyen 15 di sini, malam ini.

Dua minggu lalu, Elyana mengejutkan peminat apabila mengumumkan dirinya menghidap kanser limfoma tahap empat ketika tersingkir daripada musim keempat program realiti, Gegar Vaganza (GV4).

Sejak itu, penyanyi Niat itu tidak henti-henti dilayangkan kata-kata semangat peminat termasuk rakan artis yang mendoakan dirinya cepat sembuh.

Elyana yang turut membawa puteri kesayangan, Cinta Sumayah pada majlis itu menambah, dia bersyukur peminat dan rakan artis memberi sokongan selepas pendedahan itu.

6272 dibaca
ELYANA dan anaknya, Cinta Sumayah pada majlis solat hajat dan doa selamat di Shah Alam, Selangor. - Foto Farhana Ab Rahman
Berita Harian X