;
Jumaat, 8 Disember 2017 | 6:24pm

Abam selamat bergelar suami

KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal, Abam Bocey, 29, selamat bergelar suami kepada Siti Nurhidayah Mohd Ali, 26, kira-kira jam 5.33 petang tadi dengan sekali lafaz.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Sabak Bernam, Ustaz Kamal Salan, dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Mohd Ali Bahtin.

Majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Sabak Bernam itu menyaksikan Abam menyerahkan sembilan dulang berbalas sebelas daripada pihak perempuan.

Abam turut menyerahkan wang hantaran berjumlah RM13,888 selain seutas rantai leher dan mas kahwin bernilai RM3,000.

"Alhamdulillah, jodoh kami kuat dan semoga ia akan kekal hingga ke jannah.

"Saya mula mengenali isteri sejak 2009 lagi, tetapi hubungan kami putus seketika. Ternyata jodoh itu rahsia Allah dan pastinya kita sendiri tidak mengetahui bagaimana aturan serta perjalanannya," katanya.

Turut hadir pada majlis pernikahannya ialah teman seperjuangan, Fad dan Achey, serta Ali Puteh yang juga adiknya.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan berkata, beliau amat bersyukur dengan segala nikmat dan fasa baharu kehidupannya itu.

"Semoga tanggungjawab membahagiakan isteri akan dapat saya tunaikan dengan sebaik mungkin. Insya-Allah," katanya.

Bakat yang dicungkil menerusi program Bintang Mencari Bintang itu berkata, apa yang lebih penting, isterinya itu menjadi pilihan bonda tersayang, Rosbiah Arshad.

Majlis persandingan di kediaman keluarga pengantin perempuan akan berlangsung di Sabak Bernam, esok, manakala majlis bertandang di sebelah pengantin lelaki di Gombak akan diadakan pada 20 Januari depan.

Mengenai bulan madu, Juara Maharaja Lawak Mega 2016 dan 2017 itu memberitahu, beliau dan isteri belum membuat sebarang perancangan.

"Saya sendiri terikat dengan beberapa kerja seni sehingga Februari tahun depan," katanya sambil memberitahu, isterinya bekerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat swasta.

18453 dibaca
PELAWAK, Abam, pada majlis pernikahan beliau dengan pasangannya, Siti Nurhidayah Mohd Ali, di Sabak Bernam, petang tadi.
PELAWAK, Abam, pada majlis pernikahan beliau dengan pasangannya, Siti Nurhidayah Mohd Ali, di Sabak Bernam, petang tadi.
Berita Harian X