Sabtu, 9 Disember 2017 | 1:10pm

Tauke nikah kali keempat

KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun menduda, pelawak Tauke atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria kembali bergelar suami apabila selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Nadia Mohd Affendi, hari ini.

Dengan sekali lafaz, Tauke sah menjadi suami kepada Nadia pada majlis yang berlangsung jam 11.55 pagi tadi di De' Laman Event Space, Shah Alam.

Pasangan itu dinikahkan oleh imam dan jurunikah Masjid Al I'itisam, Taman Tun Dr Ismail Jaya, Mohd Fairus Shuaib.

Pada majlis itu, Tauke, 40, menyerahkan RM300 sebagai mas kahwin, selain wang hantaran RM30,000 dan lima dulang hantaran, manakala pengantin perempuan membalas dengan tujuh dulang.

"Alhamdulillah, semuanya lancar dan saya berharap 'perjalanan' baharu kami sebagai suami isteri akan dipermudahkan.

"Saya juga berdoa ikatan perkahwinan kali ini akan kekal hingga ke jannah," kata Tauke.

Majlis pernikahan mereka dihadiri kira-kira 100 tetamu terdiri daripada keluarga dan sahabat handai.

Tauke dan Nadia sebelum ini bertunang di Terengganu pada 5 Disember 2015

Ia adalah perkahwinan keempat pelawak yang dikenali bersama kumpulan Jambu itu.

Menerusi tiga perkahwinan terdahulu, Tauke dikurniakan enam cahaya mata. Pasangan mempelai akan diraikan dalam majlis resepsi di lokasi yang sama malam ini.

12887 dibaca
TAUKE atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Nadia Mohd Affendi, hari ini.
TAUKE atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Nadia Mohd Affendi, hari ini.
Berita Harian X