Isnin, 11 Disember 2017 | 11:26am
PELAKON Janna Nick. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Lagi dikritik, lagi rakam single

KUALA LUMPUR: Biarpun ada yang mengkritik, pelakon Janna Nick terus mencabar diri menghasilkan single baharu berjudul Akan Bercinta yang menjadi lagu latar drama adaptasi Coffee Prince yang sedang hangat disiarkan.

Enggan semangat lebur hanya disebabkan segelintir individu yang mempertikai kemampuan vokalnya, Janna menyifatkan single terbabit adalah bukti kesungguhannya dalam dunia seni suara.

"Komen dan kritikan bukan halangan untuk saya meneruskan penghasilan single. Lagu Akan Bercinta ciptaan Aepul Roza adalah lambang semangat yang tak mungkin dapat digugat.

"Kalau nak ikut cakap orang yang mempertikaikan itu dan ini, mungkin saya akan berada di tempat yang sama selama-lamanya.

"Jadi lebih baik saya terus lakukan sesuatu yang positif seperti diharapkan peminat," katanya kepada BH Online.

Tambah Janna, dia serius dalam melunaskan amanah yang diberi baik dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.

"Lebih istimewa, saya juga menghasilkan klip video sendiri di mana idea, proses penerbitan dan pengarahan adalah di bawah garapan saya," katanya yang sebelum ini tampil dengan single Mungkin Saja.

Berkongsi pengalaman di sebalik pembikinan single itu, Janna berkata, dia berdepan dugaan termasuk dimasukkan ke hospital pada hari sepatutnya rakaman diadakan.

Selain itu, katanya dia mengejar masa ketika penggambaran video muzik video, namun hasilnya tetap membanggakan.

"Sebagai lagu tema drama adaptasi ini, kami mengejar masa menyiapkan keseluruhan lagu dan video muzik. Faktor kesihatan dan masa juga antara kekangan tetapi saya bersyukur apabila kerja berpasukan melancarkan segala urusan.

"Boleh dikatakan saya masuk studio tiga kali namun ketika itu suara agak kasar disebabkan sakit. Kemudian kami juga hanya ada masa tiga hari untuk menyiapkan dua klip muzik," katanya yang dibantu pengarah Michael Ang untuk memudahkan proses penerbitan.

6117 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »