Khamis, 11 Januari 2018 | 11:50am
DATUK Seri Siti Nurhaliza. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Stesen radio putarkan lagu Siti seharian

KUALA LUMPUR: Stesen radio tempatan memberi dedikasi istimewa buat penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyambut hari jadinya yang ke-39, hari ini.

Tiada yang lebih istimewa buat bintang kesayangan ramai ini apabila radio sejak awal pagi memutarkan koleksi lagu Siti, melangkaui era sejak mula bergelar penyanyi pada 1996.

Stesen radio yang mewujudkan segmen khas meraikan hari jadi Siti ialah Hot FM, Kool FM, Era FM, Sinar FM, Suria FM, Gegar FM dan Best FM.

Lebih istimewa, Selasa lalu, kru stesen radio Kool FM dan Hot FM milik Media Prima Bhd, membuat kejutan dengan bertandang ke kediaman Siti bagi meraikan hari jadinya lebih awal, sebelum penyanyi itu bercuti di Singapura.

"Siti terharu apabila dihubungi pihak radio ini kerana mengadakan segmen khas sempena ulang tahun kelahiran. Ia suatu penghormatan yang tidak pernah Siti, termasuk pihak pengurusan jangka.

"Begitu juga dengan stesen radio lain yang tak pernah jemu menyokong perjalanan seni Siti.


DATUK Seri Siti Nurhaliza

"Bagi Siti, kerjasama antara penyanyi dan stesen radio ibarat aur dengan tebing, saling memerlukan dan mendukung antara satu sama lain," katanya yang berkongsi catatan pada laman Instagram.

Sehubungan itu, Siti mewakili syarikat pengurusan, Siti Nurhaliza Production mengucapkan terima kasih kepada semua stesen radio yang menyediakan slot istimewa hari ini.

"Ini sesuatu yang amat kami hargai dan menjadi hadiah yang bermakna buat Siti," katanya yang dijangka pulang ke Kuala Lumpur, esok.

Sebelum ini, Siti yang sedang hamil tujuh bulan, dilaporkan berazam menjadi ibu yang baik kepada anak sulungnya yang dijangka lahir, Mac depan.

"Alhamdulillah, Siti amat bersyukur apabila tahun baharu bakal menyaksikan Siti bergelar ibu. Sudah semestinya, Siti mahu menjadi ibu yang baik untuk anak.

"Siti ingin memberi limpahan kasih sayang dan cuba mendidik anak dengan sempurna," katanya.

Siti yang merangkul trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak tujuh kali, memiliki 16 album solo pop dan tradisional selain projek lain, termasuk rakaman duet dengan ramai penyanyi termasuk bintang lagenda serta runut bunyi.

4111 dibaca
Berita Harian X