Khamis, 11 Januari 2018 | 3:54pm
MIRA Filzah. - Foto: Khairul Azhar Ahmad

Pengganti Fathia, Mira dicari

KUALA LUMPUR: Penerbit terkenal, Fadzil Teh, kini mencari pelakon bertudung untuk memegang watak utama dalam drama terbaru terbitan Zeel Production, Anugerah Cinta Aisyah.

Asalnya, watak Aisyah mahu diserahkan kepada dua calon pelakon wanita terkenal, Fathia Latiff dan Mira Filzah. Begitupun, atas sebab tidak dapat dielakkan, watak itu dibuka kepada pelakon lain mahupun 'insta famous'.

"Memang watak besar ini dibuat khas sama ada untuk Fathia atau Mira. Bagaimanapun, Mira sibuk dengan kerja seni lain, manakala Fathia pula tidak dapat melakukannya atas sebab tertentu. Jadi, kalau boleh kita mahu watak Aisyah ini dilakonkan mereka yang setanding dengan dua pelakon berkenaan.


FATHIA Latiff. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Saya sendiri dari dulu sentiasa membuka peluang untuk bakat baharu. Jika mereka berbakat dan memiliki ciri diinginkan untuk menjadi Aisyah, pihak kami tidak ragu-ragu menyerahkan tanggungjawab itu kepada calon sesuai.

"Kami juga mahu mencari bakat yang boleh bersaing dengan pelakon sedia ada. Memandangkan artis yang sudah mencipta nama terikat dengan pelbagai projek hingga 2019, tak salah kita mencuba dan mendidik pelakon baharu pula. 'Insta famous' bertudung yang mempunyai ramai pengikut di laman sosial juga dialu-alukan untuk mencuba nasib," katanya.

Menurut Fadzil, Aisyah digambarkan sebagai gadis lulusan dari Mesir, mempunyai latar belakang agama yang kuat dan berusia dalam lingkungan 19 hingga 25 tahun.

"Aisyah yang kami cari juga seorang yang menghormati orang tua, menjaga pertuturan, sopan namun tegas dalam soal agama.


PENERBIT Zeel Production, Fadzil Teh. - Foto Aziah Azmee

"Jika mengikut perancangan, watak utama lelaki berkemungkinan akan ditawarkan kepada Hafidz Roshdi atau Idris Khan," katanya.

Kata penerbit itu, naskhah berkenaan bakal dipersembahkan dengan sentuhan Islamik.

"Jika filem Islamik seperti Ayat-Ayat Cinta boleh meletup, jadi tidak salah andai kita guna pendekatan sama. Dulu, cerita sedemikian memang pernah ditayangkan di layar kecil dan pawagam negara kita," katanya.

Bakat yang berminat untuk mencuba nasib merebut watak berkenaan bolehlah menghantar e-mel ke alamat marrmohamad@gmail.com atau abillenggong@gmail.com.

7745 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »