Khamis, 11 Januari 2018 | 7:27pm

'Semoga segala urusan dipermudahkan' - Yana Samsudin

KUALA LUMPUR : "Sentiasalah jadi diri sendiri dalam apa juga keadaan. Insya-Allah. Allah tahu segala-galanya. Kita sebagai manusia juga susah hendak faham ujian sebenar daripada-Nya.

"Masa akan datang memberi makna bagi setiap kejadian. Sabar, tenang. Semoga Allah mudahkan urusanmu dan keluargamu di dunia dan akhirat," luah pelakon, Yana Samsudin dalam akaun Instagram peribadinya beberapa jam lalu.

Kapsyen itu disertakan bersama gambarnya dengan suami, Fadzil Zahari, yang juga adik kepada aktor, Datuk Farid Kamil.


YANA bersama suami, Fadzil Zahari.

Terdahulu, seorang pelakon dan pengarah bergelar Datuk ditahan selepas menampar anggota polis dan menendang orang awam di kaunter trafik Balai Kota Damansara, hari ini.

Pelakon dan pengarah itu juga dikesan positif dadah. Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari itu, pelakon terbabit dilaporkan datang ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan satu kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, pelakon itu secara tiba-tiba menampar muka petugas yang menerima aduan itu sambil disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Dia juga dikatakan menendang kaki orang awam yang berada dalam balai sebelum ditahan beberapa anggota polis lain.

23426 dibaca
Berita Harian X