Jumaat, 12 Januari 2018 | 12:54pm
NITA Hamzah - Foto Syarafiq Abd Samad

Nita tunggu 11 tahun

KUALA LUMPUR: Penantian 11 tahun penyanyi, Nita Hamzah untuk menerbitkan lagu baharu, berakhir apabila single berjudul 'Hadirlah Cinta' menemui peminat.

Mengaku menempuh pelbagai dugaan menghasilkan single itu, Nita memberitahu, Hadirlah Cinta yang dicipta Sharon Paul dengan lirik dihasilkan Iman Imran, siap dirakam Februari lalu dalam tempoh tiga jam.

"Banyak dugaan dan bermacam rintangan saya lalui untuk sampai ke tahap ini. Sejujurnya, saya sangat gementar bercampur teruja dengan kemunculan single ini.

"Kalau mahu dirangkumkan segala kepayahan dihadapi, mungkin sudah lama saya berputus asa, namun minat dan semangat tak pernah berkubur," katanya kepada BH Online.

Ketika ini, Nita sibuk mempromosikan teaser atau sedutan lagu yang turut menampilkan pelakon, Nadzmi Adhwa itu dalam laman sosial.

Ditanya sejauh mana single itu mampu menarik perhatian peminat apatah lagi sudah lama tidak merakamkan lagu, Nita yang muncul naib juara program realiti, Malaysian Idol musim kedua pada 2005, percaya kepada rezeki.

"Soal sama ada lagu boleh 'pergi' atau tidak, saya tak berani nak cakap. Saya sentiasa ikut aliran rezeki. Lagu sedap mana pun kalau tak dimainkan di radio tak ke mana.

"Begitulah juga sesedap mana pun suara, kalau orang tak mahu dengar, begitulah jadinya," katanya.

Bercerita lanjut mengenai lagu itu, Nita mengaku Hadirlah Cinta sangat bermakna dalam hidupnya.

"Saya jatuh dan bangun dalam hidup, begitu juga dengan percintaan. Saya takkan mengalah kerana pasti cinta sejati akan hadir satu hari nanti. Semoga lagu ini memberi kekuatan kepada kita semua.

"Saya optimis semua mampu memiliki cinta sejati. Mudah-mudahan cinta itu hadir pada masa yang terdekat," katanya.

Mengenai perancangan berkahwin, Nita yang bertunang dengan jejaka pilihan hati, Mohd Fareez Shamsul Bahari, Ogos lalu, sedang mencari tarikh sesuai untuk bernikah.

"Perancangan nikah tetap jadi. Tunang saya pun tak mahu lambatkan soal kahwin," katanya.

4205 dibaca
Berita Harian X