Khamis, 18 Januari 2018 | 3:27pm
SITI bersama dua anak saudaranya ketika merakamkan single khas, Comel Pipi Merah, di Petaling Jaya, semalam.

Comel Pipi Merah lagu khas untuk anak

PETALING JAYA: Sempena kelahiran anak sulungnya yang dijangka pada Mac depan, Datuk Seri Siti Nurhaliza merakamkan sebuah single khas berjudul Comel Pipi Merah.

Bakal dilancarkan tidak lama lagi, lagu ciptaannya sendiri manakala lirik tulisan Rozi Sangdewi itu, menurut Siti, cukup istimewa kerana ia mengandungi elemen yang membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanaknya.

"Dalam melodi lagu ini, Siti ada selitkan bunyi seperti seseorang sedang mengagah bayi. Siti ingat lagi ketika kecil dulu, arwah abah suka buat begitu pada anak-anak kecil dan juga cucu-cucunya.

"Siti turut menggabungkan karya ini dengan lagu rakyat, Can Mali Can, tetapi Siti tukarkan pantunnya mengikut kesesuaian lagu. Siti buat begini supaya ia mudah diingati oleh mereka yang mendengarnya," katanya kepada BH Online.

Siti, 39, merakamkan lagu berkenaan di Nomad Studio, di sini, semalam.

Sesuai dengan 'mood' ceria lagu berkenaan, penyanyi Segala Perasaan ini turut mengundang dua anak saudaranya, Siti Nurun Marsitah Mohd Ghazali, 12, dan Puteri Siti Nurinsyirah Damia Saiful Bahri, 11, untuk mengiringi nyanyiannya.

Mengulas pengalaman berada di studio ketika dirinya sedang sarat mengandung, Siti bersyukur kerana proses rakaman berjalan dengan lancar.

"Terasa juga sedikit semput, maklum sajalah usia kandungan Siti pun sudah lebih tujuh bulan.

"Ingatkan, proses rakamannya akan mengambil masa sehingga empat jam, tetapi alhamdulillah semuanya selesai dalam tempoh sejam saja," kata isteri kepada tokoh korporat, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini.

Selepas sekian lama menunggu, baru-baru ini, Siti mendedahkan dirinya bakal menyambut kelahiran bayi perempuan. Pasangan terkenal ini berkahwin 21 pada Ogos 2006.

6833 dibaca
Berita Harian X