Rabu, 14 Februari 2018 | 12:40pm
KUMPULAN Bunkface. - Foto Mahzir Mat Isa

Bunkface cipta lagu untuk KLFA

KUALA LUMPUR: Sesuatu yang hebat menanti peminat apabila trio popular, Bunkface dalam diam-diam menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), sejak bulan lalu.

Teruja bercerita mengenai projek kolaborasi itu, anggota Bunkface, Farouk Jaafar atau lebih dikenali sebagai Youk memberitahu, mereka optimis sinergi terjalin memberi manfaat selain mewujudkan situasi menang-menang.

"Kami berbincang mengenai kerjasama ini sejak akhir tahun lalu dengan kata sepakat dicapai awal tahun ini. Insya-Allah, Bunkface akan terbabit dalam kerja pemasaran, promosi dan penjenamaan KLFA.

"Sebagai permulaan, kita akan mencipta lagu tema dan menjayakan program promosi persatuan ini. Ini menyediakan ruang untuk kami berinteraksi dengan peminat bola sepak," katanya kepada BH Online.

Selain Youk, Bunkface dianggotai vokalis, Sam dan Paan.

Youk menambah, Bunkface menandatangani kontrak dua tahun dengan KLFA bermula bulan lalu.

"Kita akan lancarkan lagu khas untuk KLFA pertengahan tahun ini. Material sudah ada, hanya menunggu untuk merakamkannya di studio.

"Kami berharap lagu ini akan menjadi pembakar dan peniup semangat peminat bola sepak terutama KLFA," katanya.

Dalam perkembangan lain, Youk berkata, mereka sedang sibuk menyiapkan album baharu yang dijangka memuatkan lapan lagu.

"Selain lagu Kembali yang sudah dipromosikan dengan nafas baharu tahun lalu, kita akan muatkan tujuh buah lagu baharu. Ada empat lagu dalam Bahasa Inggeris dan selebihnya Bahasa Melayu.

"Kami jangka album ini akan dilancarkan selepas Aidilfitri iaitu Ogos depan," katanya.

Sementara itu, Bunkface akan menjayakan siri ketiga Konsert GegaRia di pekarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 Februari depan.

Selain Bunkface, konsert itu akan dijayakan Noh Salleh, Kugiran Masdo, Akim & The Majistret dan DeFam.

420 dibaca
Berita Harian X