Isnin, 19 Februari 2018 | 3:46pm

Putus tunang ikut adat - Sufian Suhaimi


SUFIAN Suhaimi akhirnya tampil mengesahkan ikatan pertunangan mereka putus mengikut adat.

KUALA LUMPUR: Akur jodoh dengan Elfira Loy tidak kesampaian, penyanyi Sufian Suhaimi akhirnya tampil mengesahkan ikatan pertunangan mereka putus mengikut adat.

Sufian memberitahu, bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin datang memulangkan cincin pertunangan kepada keluarganya di Muar, Johor, semalam.

"Semuanya selesai penuh adat. Saya hendak ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang peduli mengenai kami dan yang mendoakan baik-baik untuk kami," katanya kepada BH Online.

Kelmarin, BH Online melaporkan kenyataan ibu Elfira, Filzah Yusoff yang mengesahkan anaknya itu sudah putus tunang dengan penyanyi lagu Terakhir itu.

Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober tahun lalu. Jika mengikut perancangan awal, mereka bakal disatukan, awal bulan depan.

Sufian berkata, dia enggan memanjangkan cerita mengenai kisah pertunangannya yang putus kerana percaya jodoh mereka hanya sampai setakat itu.

Sebaliknya, kata Sufian, dia mahu terus fokus dengan apa yang dilakukannya sekarang serta mengubat kekecewaan dengan berkarya.

"Ada pepatah Inggeris menyebut 'a broken heart creates a masterpiece'. Jadi saya akan cuba kongsi melalui lagu.

"Insya-Allah saya takkan biarkan tarikh 23 atau 24 Mac depan yang sepatutnya menjadi detik saya berkahwin, jadi sia-sia. Kalau semuanya berjalan lancar, saya akan kongsi dengan anda semua," katanya.


SUFIAN dan Elfira Loy.

Mengikut perancangan, Sufian dijangka melancarkan single keempat berjudul Di Matamu.

Sementara itu, sejak berita putus tunang tersebar, Sufian banyak menerima kata-kata semangat dan nasihat daripada rakan artis. Antara artis yang melayangkan mesej kepada dirinya dan Elfira adalah Sharnaaz Ahmad, Aiman Tino, Haqiem Rusli, Ernie Zakri dan Heliza Helmi.

Sufian turut dilihat berkongsi mesej diterima melalui aplikasi WhatsApp dan Twitter pada akaun Instagram.

Sharnaaz melayangkan mesej berbunyi:

"Kita sayang orang itu, belum tentu dia milik kita sebab Allah dah tetapkan orang lain akan jaga dia untuk kita. Allah Maha Kuasa dan Mengetahui. Kekal positif dua adikku.

"Setiap pertemuan dan jodoh itu rahsia Allah. Bertabahlah wahai jiwa Sufian dan Elfira. Reda dengan ketentuan-Nya. Semoga Allah berikan cahaya buat kalian... Amin."

Aiman juga menasihatkan Sufian supaya terus kuat dan percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

"Jangan 'termakan' dengan kata-kata netizen," katanya.

Ernie pula berharap Sufian akan terus kuat berdepan dugaan putus tunang.

"Semoga yang baik-baik saja mendatang untuk Sufian... Insya-Allah, jodoh sentiasa di tangan Allah.

"Kita yang berusaha ini, reda dengan segala ketentuan dan ramai yang mendoakan. Semoga 2018 akan memberi makna yang baik-baik untuk kamu dan keluarga," katanya.

Heliza pula berkongsi potongan hadis buat renungan Sufian manakala Haqiem sedia meluangkan masa untuk bertemu sebagai tanda sokongan.

31040 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »