Sabtu, 24 Februari 2018 | 7:47pm

Elfira reda putus tunang

KUANTAN: Seminggu selepas ikatan pertunangan bersama penyanyi, Sufian Suhaimi, terlerai, Elfira Loy mengaku dirinya tenang dan reda dengan suratan tertulis.

Bagi pelakon dan ahli perniagaan berusia 23 tahun itu, ikatan berkenaan diputuskan atas persetujuan keluarga masing masing.

"Saya lebih tenang dan reda di sebalik apa yang terjadi. Semua yang berlaku antara kami juga menjadi memori terbaik. Ia tetap rezeki dan kebahagiaan yang pernah saya kecapi, biarpun seketika. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku.

"Saya tahu, pertunangan menjadi fasa untuk lebih mengenali. Keputusan yang diambil pula adalah atas persefahaman dan persetujuan keluarga kami. Ia bukan dilakukan antara saya dan Sufian semata-mata," katanya ketika ditemui pada Festival GegaRia di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan kononnya sesetengah pihak, terutama keluarganya, tidak senang dengan hubungan beliau bersama penyanyi Terasa Ada itu, Elfira enggan memperbesarkan hal terbabit.

"Kita kena ambil kira apa saja pendapat, termasuk daripada keluarga. Ia juga bukan soal restu atau tidak, sebaliknya saya akur inilah ketentuan-Nya. Buat masa sekarang, inilah yang terbaik," katanya.

Elfira turut mengaku dirinya dan Sufian, 25, masih berkawan baik.

"Kami ada berhubung dan saya sendiri hendak tahu apa yang terjadi. Saya dan dia masih berkawan, begitu juga dengan keluarga kami.


PELAKON, Elfira Loy pada Festival GegaRia edisi ketiga di pekarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Pada masa sama, kita tidak dapat menahan orang lain daripada bercakap. Namun, pihak yang tahu perkara sebenar tetap keluarga kami.

"Tak ada faedah pun nak buat spekulasi kerana ia perihal keluarga. Kalau membabitkan orang luar, mungkin sewaktu nak bertunang dulu saya patut tanya mereka yang lain," katanya.

Sempat ditanya mengenai single terbaru Sufian, Di Matamu, yang dikatakan ada kaitannya dengan insiden terbabit, Elfira tidak melihatnya sebagai isu besar.

"Setahu saya, lagu itu tiada kena mengena pun (dengan apa yang baru saja berlaku). Cuma, mungkin perasaan yang ada dalam lagu itu bagai kena dengan apa yang terjadi sekarang.

"Setahu saya, lagu itu sudah dibuat berbulan-bulan dulu," katanya

Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober lalu dan dikatakan sepatutnya berkahwin pada bulan depan. Bagaimanapun, ikatan pertunangan dua bintang muda ini terlerai Ahad lalu apabila keluarga Elfira sepakat untuk memulangkan cincin kepada keluarga Sufian di Johor.

23198 dibaca
ELFIRA beramah-mesra dengan peminat pada Festival GegaRia edisi ketiga anjuran Media Prima Berhad di pekarangan Stadium Darul Makmur. - Foto Farizul Hafiz Awang
ELFIRA tenang ketika menjawab soalan wartawan pada Festival GegaRia edisi ketiga di pekarangan Stadium Darul Makmur, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X