Selasa, 27 Februari 2018 | 5:14pm
Penyanyi, Sufian Suhaimi. - Foto Aziah Azmee

Sufian tak terfikir pengganti Elfira

KUALA LUMPUR: Putus tunang dengan pelakon, Elfira Loy, Sufian Suhaimi belum terfikir mencari pengganti sebaliknya mahu fokus dengan kerjaya muzik.

Sufian memberitahu, apa yang berlaku antara dirinya dan Elfira sudah tertulis dan tidak boleh diubah.

"Saya tidak boleh terus hidup dengan kenangan lalu... Kena fikir ke depan. Memang saya bersedih. Tapi saya sudah fikir ke depan dan reda dengan suratan ini.

"Saya enggan terus larut dengan perkara yang sudah berlalu pergi. Saya belum terfikir soal pengganti... Biarlah saya utama kerjaya," katanya kepada BH Online.

Pada 19 Februari lalu, Sufian mengesahkan ikatan pertunangannya dengan Elfira putus mengikut adat selepas bapa pelakon itu, Ahmad Sabri Ariffin, memulangkan cincin kepada keluarganya di Muar, Johor.

Dua hari sebelum itu, ibu Elfira, Filzah Yusoff mengesahkan anaknya putus tunang dengan penyanyi lagu Terakhir itu.

Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober lalu. Jika mengikut perancangan awal, mereka bakal disatukan, awal bulan depan.

Sufian berkata, dia sibuk membuat persiapan untuk melancarkan single keempat berjudul Ku Dimatamu, tidak lama lagi.

Difahamkan, mengikut perancangan awal, lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu mahu dilancarkan pada 23 atau 24 Mac depan sempena tarikh Sufian dan Elfira naik pelamin.

Bagaimanapun, Sufian menafikan lagu berkenaan ada kaitan dengan kisah putus tunangnya.

"Lirik lagu itu dicipta tahun lalu. Apa yang terjadi semuanya kebetulan. Lagu itu sangat peribadi cuma tidak dinafikan ada kaitan dengan hidup saya," katanya.

8222 dibaca
Berita Harian X