Ahad, 11 March 2018 | 8:18pm
PENERBIT, Datuk A Aida, ketika siri jelajah kedua DFKL 2018 di Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

A Aida cari yang kacak, cantik

KUALA LUMPUR: Penerbit, Datuk A Aida, menitikberatkan paras rupa sebagai kriteria utama bagi setiap produk dihasilkan olehnya.

Katanya, beliau memang meminta pelakon di bawah produksinya untuk menjaga badan dan wajah bagi menarik perhatian penonton.

Menurut Aida atau nama penuhnya, Zaidah Awang, 47, beliau berbuat demikian kerana yakin, kemampuan seseorang dalam bidang lakonan dapat dibentuk.

"Sejak dulu saya memegang prinsip untuk memilih pelakon yang memiliki wajah kacak dan paras yang cantik dalam semua karya saya.

"Malah, saya menyarankan kepada mereka untuk membentuk badan di gimnasium kerana ia membuatkan seseorang pelakon lebih sedap untuk dipandang. Sebagai penonton, kita pasti tertarik apabila melihat barisan pelakon yang sedap mata memandang.

"Biarpun ada di antara pelakon diambil oleh saya digelar kayu oleh sesetengah pihak, namun bagi saya, ia bukan masalah. Bakat dalam bidang lakonan boleh digilap," katanya kepada BH Online.

Selain berharap orang ramai turut memberi ruang kepada pelakon baharu, beliau juga mengambil pendekatan menyediakan kelas lakonan bagi memperbaiki mutu persembahan bakat terbabit.

"Sebelum ini, ramai juga artis saya yang teruk dikritik, namun lama kelamaan mereka semakin menempa nama dalam persada seni tempatan.

"Jadi, kita jangan terus mengkritik, sebaliknya berikan ruang kepada mereka untuk mencuba nasib," katanya yang turut terbabit dalam siri jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018.

5528 dibaca
Berita Harian X