Selasa, 13 March 2018 | 3:52pm
PENYANYI dan pelakon, Marsha Milan Londoh, pada sidang media SL1M di Philea Mines Beach Resort. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Marsha berdebar tunggu April

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Marsha Milan, berdebar menanti April bagi menjayakan persembahan mini yang sudah lama diimpikan di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, perancangan yang diperincikan sejak tahun lalu itu bakal dilaksanakan dengan kerjasama rakan baik yang artis kelahiran program Akademi Fantasia (AF), Velvet.

"Sebenarnya, rancangan mengadakan persembahan mini sudah lama kami bincangkan, terutama selepas berhajat untuk tampil dalam single duet bersama-sama.

"Apabila ada peluang dan ruang, kami tekadkan semangat untuk menjadikan impian ini satu kenyataan, sekali gus memilih kampung kami sebagai lokasi," katanya kepada BH Online.

Akui Marsha lagi, biarpun kebelakangan ini kerjaya lakonannya dikatakan lebih menyerlah, bidang nyanyian yang diterokai sejak keluar daripada AF3 tetap di tangga teratas.

Cuma, disebabkan kekangan waktu selain lebih selesa memenuhi tanggungjawab di rumah selepas bergelar isteri, peminat menyangka nyanyian bukan lagi keutamaannya.

Ditanya mengenai konsep persembahan yang bakal diadakan pada 28 April nanti, katanya, mereka sepakat untuk turut menyampaikan lagu 'cover version' di atas permintaan ramai.

Isteri kepada usahawan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, itu kali akhir muncul dalam persembahan mini kira-kira tiga tahun lalu, bersama beberapa artis lain.

Pada masa sama, biarpun sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Bimbi & Bonni bergandingan dengan Sharifah Sakinah, dia turut teruja menanti pelancaran video muzik single baharunya yang berjudul Hilang.

4283 dibaca
Berita Harian X