Rabu, 14 March 2018 | 9:36am
PENYANYI dan pelakon, Naim Daniel. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Lagu Sufian sentuh hati Naim Daniel

KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Naim Daniel, mengaku lagu terkini dendangan Sufian Suhaimi, Di Matamu, berjaya menyentuh hatinya.

Bahkan, kata penyanyi dan pelakon berusia 21 tahun ini, beliau sendiri dapat berasakan jiwa lagu itu ketika menyanyikannya semula, seperti yang dikongsi di laman sosial dan YouTube.

Menurutnya, walaupun kisah peribadi Sufian turut memberikan nyawa pada karya terbabit, ia ternyata sebuah lagu yang mudah menangkap pendengaran peminat.

"Sudah menjadi rezeki Sufian apabila lagu itu cepat mendapat perhatian ramai. Tidak dinafikan, kisah (putus tunang) Sufian sedikit sebanyak menjadi penyebab lagu itu popular, tetapi dia sememangnya penyanyi berbakat.

"Dia tidak perlu berlebih-lebihan dalam menghasilkan karyanya itu. Cukup dengan keikhlasan hati, Sufian berjaya membuatkan semua orang menjiwai seni kata lagu itu. Saya sendiri turut tersentuh hati ketika menyanyikannya kembali," katanya kepada BH Online.

Naim berkata, beliau tidak menyangka tindakannya menyanyikan semula lagu itu mendapat perhatian ramai di YouTube. Malah, ada yang menyambungkan nyanyiannya dengan Ernie Zakri, yang turut mendendangkan semula Di Matamu.

"Sebenarnya, saya menyanyikan lagu itu sekadar suka-suka. Tambahan pula, sudah sebulan saya tidak menyanyikan lagu saduran (cover), bagi memberikan fokus kepada single pertama saya, Sekali Lagi.

"Apa pun, apabila melihat orang ramai berpuas hati dengan nyanyian itu, saya juga berasa seronok untuk terus menyanyikan lagu popular lain," tuturnya.

Sementara itu, bercakap mengenai Sekali Lagi, Naim gembira dengan maklum balas positif peminatnya terhadap lagu terbabit. Malah, videonya juga sudah ditonton hampir 2 juta kali sejak dimuatnaik pada 31 Januari lalu di laman video popular itu.

Kata Naim, Sekali Lagi yang diciptanya bersama Omar K dan Ikhwan Fatanna menyampaikan mesej supaya kita berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Pada masa sama, ia boleh ditujukan kepada sesiapa saja mengikut situasi.

"Saya suka menyampaikan lagu yang mempunyai mesej positif, apatah lagi saat masyarakat kita semakin banyak dikelilingi anasir negatif.

"Alhamdulillah, ia mendapat maklum balas yang baik. Insya-Allah saya akan tampil dengan single kedua pula tidak lama lagi," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Naim turut terbabit dengan program realiti anjuran stesen radio Hot FM, Fantastik 4 2018, yang turut menampilkan Wany Hasrita, Haqiem Rusli dan Ara Johari.

3358 dibaca
Berita Harian X