Sabtu, 17 March 2018 | 7:43pm
PENYANYI, Awi Rafael, bakal diijabkabulkan dengan pelakon, Atikah Suhaime, pada 17 Mac tahun depan.
IBU Awi dilihat menyarungkan cincin ke jari manis pelakon wanita berkenaan yang anggun dalam persalinan biru.

Awi Rafael, Atikah nikah setahun lagi

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Awi Rafael, bakal diijabkabulkan dengan pelakon, Atikah Suhaime, pada 17 Mac tahun depan.

Menurut Awi, tarikh berkenaan dipilih selepas keluarga kedua-dua pihak mengadakan perbincangan pada majlis pertunangan mereka, di Singapura, hari ini.

"Selepas perbincangan di antara kedua-dua keluarga pada majlis pertunangan tadi, insya-Allah pernikahan kami ditetapkan pada tarikh 17 Mac 2019," katanya kepada BH Online.

Sementara itu Awi berkata, pertunangannya dengan pelakon drama rantaian, Bukan Isteri Sempurna, itu dianggap sebagai jodoh yang sudah ditentukan Tuhan.

Awi atau nama penuhnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 32, berkata, beliau mengenali Atikah sekitar 2012 apabila sama-sama terbabit dalam seni, namun masing-masing mula akrab sejak lima bulan lalu.

"Memandangkan kedua-duanya berstatus solo, saya mendapatkan nasihat ibu. Saya dan keluarga berasakan, elok kami meneruskan perhubungan ini dengan cara lebih baik, iaitu menerusi ikatan pertunangan," katanya.

Ditanya mengenai keistimewaan Atikah di matanya, penyanyi lagu Bila Aku Jatuh Cinta itu berkata, selain memiliki kecantikan asli, gadis terbabit juga dilihat mempunyai ciri-ciri seorang isteri mithali.

"Bagi saya, Atikah seorang wanita yang terlalu istimewa dan saya yakin dialah jodoh terbaik saya, Insya-Allah.

"Pertunangan ini juga boleh dikatakan sebagai rezeki buat kami. Sejak membuat perancangan untuk bertunang, ada saja tawaran kerja yang datang kepada kami. Doakan yang baik-baik buat saya dan dirinya sehingga ke jenjang pelamin," tuturnya.

Sementara itu, mengaku tertarik dengan sikap dimiliki Awi yang berjaya menambat hati ibu bapanya, Atikah bersetuju untuk menerima lamaran lelaki berkenaan.

Katanya, biarpun berkenalan dalam tempoh yang singkat, namun hatinya kuat mengatakan Awi adalah calon suami terbaik buatnya.

"Dalam ramai-ramai lelaki yang pernah berkawan dengan saya sebelum ini, Awi berjaya memikat hati mak dan ayah saya. Ia menjadi faktor utama membuatkan saya yakin dirinya lelaki yang harus saya kahwini.

"Sebenarnya, kami sudah berkawan selama enam tahun dan kadang kala membuat muzik bersama-sama. Namun, kami bersepakat untuk bertunang pada Januari lalu dan keluarga menyetujui rancangan kami," kata Atikah sambil meminta peminat mendoakan mereka berdua.

Selain Bila Aku Jatuh Cina, Awi yang juga artis rakaman Warner Music Malaysia turut dikenali dengan lagu seperti Asalkan Aku OK, Kalau Aku Kaya, Manusia Sempurna dan Ada Jalan-Nya (bersama Kaka Azraff).

Atikah, 27, pula memulakan kerjaya seni pada 2010 di Singapura menerusi drama bersiri Dikir Puteri dan Delicatessen. Kemudian, artis wanita itu menyertai syarikat MIG pada 2012 dengan Rawan menjadi drama sulung lakonannya di negara ini.

4535 dibaca
Berita Harian X