Rabu, 21 March 2018 | 12:31pm
SUFIAN Suhaimi. - Foto Eizairi Shamsudin

'Hikmah besar buat saya'

KUALA LUMPUR: Merekodkan lebih sembilan juta tontonan di YouTube dalam tempoh tiga minggu, video muzik lirik Di Matamu dendangan Sufian Suhaimi dianggap penyanyi itu sebagai hikmah besar dalam hidupnya.

Mencetuskan kontroversi selepas putus tunang dengan aktres, Elfira Loy, Sufian terhutang budi kepada peminat dan rakan artis yang menggemari lagu berkenaan dan mempromosikannya dalam laman sosial.

"Ini suatu hikmah besar buat saya... Kadang-kadang kita diuji dan akhirnya, Tuhan beri kita sesuatu di sebaliknya.

"Saya berterima kasih kepada peminat dan teman artis yang tanpa disuruh mempromosikan lagu itu dengan cara sendiri... Semua ini ibarat promosi awal buat single ini," katanya kepada BH Online.

Sufian berkata, single Di Matamu akan dilancarkan secara rasmi pada platform digital termasuk YouTube, Jumaat ini.

"Pada mulanya, single ini mahu dilancarkan bulan depan. Tetapi melihat perkembangan sekarang, kita percepatkan. Video muzik pun sudah siap," katanya.

Sufian sebelum ini popular dengan tiga single iaitu Terakhir yang bolos Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31, Harus Aku dan Terasa Ada.

Single Di Matamu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen turut dinyanyi dan dikongsi artis seperti Ernie Zakri, Haqiem Rusli, Daiyan Trishan, Naim Daniel, Nazim Othman, Andi Bernadee dan Janna Nick.

Sufian berkata, versi awal lagu itu dimuat naik di YouTube, Disember lalu di mana dia menyanyikannya secara akustik sambil berkopiah.

"Ketika itu, tontonannya tidak lebih 20,000 kali. Selepas versi video muzik lirik dimuat naik, jumlah tontonan melonjak.

"Alhamdulillah, jumlah tontonan tinggi membuktikan ramai suka dengan lagu ini. Ia suatu permulaan yang baik buat saya," katanya.

4923 dibaca
Berita Harian X