Jumaat, 23 March 2018 | 7:18pm
Penyanyi, Sufian Suhaimi di Sidang Media ERA Muzik Hit Terbaik Media Sharing Session yang diadakan di Red Box The Gardens. - Foto Eizairi Shamsudin

Lancar muzik video abadi 'tarikh pernikahan'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sufian Suhaimi mengekalkan 23 Mac sebagai tarikh bermakna dalam hidupnya apabila melancarkan video muzik terbaru, Di Matamu.

Penyanyi berusia 26 tahun itu berkata, dia sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan bekas tunangnya, Elfira Loy, 24, hari ini, namun memilih untuk melancarkan muzik video kerana menyifatkan tarikh itu begitu istimewa.

"Diikutkan, sepatutnya 23 Mac menjadi tarikh paling bermakna dalam hidup saya, tetapi kita hanya mampu merancang. Saya tidak mahu meratapi apa yang sudah berlaku.

"Saya tetap mahu menjadikan 23 Mac sebagai tarikh istimewa, jadi saya bertungkus-lumus menyiapkan muzik video ini.

"Mengikut perancangan asal, lagu ini akan diperkenalkan pada bulan depan. Namun, sebagai tanda ingatan, saya lancarkan muzik video, Di Matamu," katanya kepada BH Online.

Meraih hampir 700,000 tontonan selepas dimuat naik di YouTube kira-kira 9 pagi tadi, Sufian berharap, Di Matamu akan mengulangi fenomena yang pernah dicetuskan menerusi lagu Terakhir.

Sufian berkata, Di Matamu bukan sepenuhnya menggambarkan perjalanan peribadinya, sebaliknya single ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu bercerita mengenai lelaki yang yang pernah melalui zaman gelap dalam hidup.

"Saya agak gementar untuk melancarkan muzik video ini. Saya bimbang memikirkan penerimaan peminat kerana muzik video tidak rasmi lagu ini meraih tontonan lebih lapan juta dalam masa tiga minggu.

"Alhamdulillah, sejak dimuat naik pagi tadi, ia sudah mencecah hampir 600,000 tontonan. Saya berharap ia menjadi permulaan yang baik untuk saya kembali teruskan langkah.

"Saya berterima kasih kepada peminat dan rakan artis yang menyokong lagu ini sejak saya mula memperkenalkannya," katanya.

Sufian dan Elfira mengikat tali pertunangan pada 8 Oktober tahun lalu, namun, ikatan yang sepatutnya menyimpul kebahagiaan antara mereka hari ini, terlerai 17 Februari lalu.

1929 dibaca
Berita Harian X