Sabtu, 31 March 2018 | 11:26pm
KUALA LUMPUR 31 MAC 2018. Kumpulan Bunkface membuat persembahan pada konsert sempena Festival GegaRia 2018 di Pusat Kovensyen dan Pameran MATRADE. - Foto Saddam Yusoff
KUALA LUMPUR 31 MAC 2018.Kugiran Masdo membuat persembahan pada konsert sempena Festival GegaRia 2018 di Pusat Kovensyen dan Pameran MATRADE. - Foto Zunnur Al Shafiq

Gabungan mantap, aksi hebat hangatkan MATRADE

KUALA LUMPUR: Kehangatan konsert Festival GegaRia terus dirasai apabila nama berpengaruh bergabung memantapkan suasana perkarangan Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), di sini, malam tadi.

Lima nama yang memiliki pengaruh tersendiri dalam industri hiburan iaitu Noh Salleh, Akim & The Majistret, kugiran Masdo, Bunkface dan Bittersweet menjadi 'senjata' ampuh menarik khalayak menghangatkan festival hipster itu.

Sejak awal petang lagi, peminat sudah mula membanjiri lokasi kelima festival untuk menyaksikan lebih dekat persembahan artis kesayangan mereka.

Konsert di pentas utama yang menampilkan penyampai radio Hot FM, Issey dan El sebagai pengacara dibuka dengan persembahan Noh Salleh membawakan tiga lagu popular, Sang Penikam, Angin Kencang dan Kotak Hati.

Setia bersama sejak lokasi pertama festival berlangsung, vokalis kumpulan Hujan itu mempamerkan aura dan karisma tersendiri yang membuat khalayak terpukau dengan persembahannya.

Momentum acara diteruskan dengan persembahan Akim & The Majistret yang menghadiahkan empat lagu, termasuk sentuhan terbaru, Stereotype.

Kumpulan yang memiliki pesona tersendiri itu turut menghangatkan suasana dengan aksi bertenaga membawakan lagu Terlalu Mudah, Lagu Untuk Laila dan Obses.


PENGUNJUNG yang hadir menyaksikan konsert sempena Festival GegaRia 2018 di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE. - Foto Zunnur Al Shafiq


KUMPULAN Bittersweet membuat persembahan pada konsert sempena Festival GegaRia 2018 di Pusat Kovensyen dan Pameran MATRADE. - Foto Saddam Yusoff

Tenaga yang sama turut dikongsi kumpulan yang sentiasa dinanti setiap kali beraksi pada festival anjuran Media Prima Berhad itu.

Kali ini, Kugiran Masdo mempertaruhkan lima lagu Teruna Dan Dara, Bunga, Bercanda Di Malam Indah, Malam Pesta Muda Mudi dan Malam Pesta Rock and Roll.

Selain menambat hati peminat baharu, kehadiran kelab peminat mereka, GengpakMaon (gelaran untuk peminat lelaki) dan GengBentaraGuru (peminat wanita) menjadi nadi yang menghangatkan lagi suasana.

Kali pertama beraksi di pentas Konsert GegaRia, taring kumpulan Bittersweet terus menyengat menerusi deretan empat lagu, Control, Down To Me, Hilang dan Kucing Hitam.

Kemuncak acara dihangatkan dengan aksi Bunkface yang dianggotai Paan, Youk dan Sam, sekali gus meninggalkan satu lagi memori indah kepada peminat yang hadir. Mereka menghiburkan peminat dengan pilihan lagu, Malam Ini Kita Punya, Rentak Laguku dan Revolusi.

Festival ini akan meneruskan kembara di dua lagi destinasi iaitu Dataran Centrio Seremban 2 pada 7 April, sebelum mengakhiri sirinya di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah pada 14 April.

416 dibaca
Berita Harian X