Ahad, 15 April 2018 | 3:41pm

Aisyah berehat daripada media sosial

KUALA LUMPUR: Bimbang dirinya terus hanyut dalam arus teknologi, penyanyi Aisyah Aziz membuat keputusan untuk berehat seketika daripada aktif di media sosial.

Adik kepada pelakon, Aliff Aziz itu juga bertekad, menyerahkan segala urusan berkaitan promosi kerjaya seninya di media sosial kepada pihak pengurusannya.

"Saya sudah memadam aplikasi Instagram di telefon bimbit untuk merehatkan fizikal dan mental daripada perkara negatif buat sementara waktu.

"Saya perlukan ruang dalam daripada proses mematangkan diri. Saya juga mahu mendidik diri supaya mencari kegembiraan sebenar, bukan bergelumang dalam khayalan seperti yang sering dimomokkan di media sosial.

"Saya tidak tahu berapa lama saya akan berehat. Mungkin apabila saya menemui semula elemen positif daripada aplikasi itu, saya akan kembali menggunakannya. Selepas ini, saya hanya akan berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, tetapi tidak lagi seaktif dahulu," kayanya.

Aisyah sebelum ini, meluahkan hasrat untuk berehat seketika daripada media sosial sebaik sahaja pulang daripada percutian solo di Eropah.

"Mengembara bersendirian memberikan saya ruang untuk lebih mengenali diri. Biarpun pada mulanya, ramai yang meragui idea ini, saya berjaya membuktikan saya mampu melakukannya.

"Di setiap negara yang saya lawati, saya berpeluang berkenalan dengan ramai orang. Ternyata, masih ramai insan yang baik dan positif, membuatkan saya berasa ini dihargai," kata Aisyah.

Mengulas mengenai lagu duet bersama Rizky Febian, Indah Pada Waktunya, penyanyi kelahiran Singapura itu teruja apabila ia mendaki tangga selesa carta di beberapa stesen radio di Indonesia.

2460 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »