Ahad, 15 April 2018 | 8:16pm

Suara hati Dayah untuk bakal 'imam'

SUNGAI PETANI: Lagu Imamku yang diciptanya empat tahun lalu bagaikan menterjemahkan perasaan yang sedang dilalui pengacara, Dayah Bakar yang bakal menamatkan zaman gadisnya pada 29 Jun depan di Ampang, Kuala Lumpur.

Dayah atau nama sebenarnya, Nur Hidayah Abu Bakar berkata, lagu itu menceritakan impian seorang gadis yang berharap dipertemukan dengan seorang lelaki yang mampu membimbingnya ke jalan kebaikan.

"Lagu itu tepat menggambarkan perasaan saya yang sedang menghitung hari untuk diijabkabulkan. Imamku agak istimewa kerana bercerita mengenai harapan semua wanita untuk bertemu cinta sejati dengan lelaki yang bersifat pemimpin.

"Insya-Allah, doa saya akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi. Saya berharap bakal suami mampu menjadi imam yang akan membanggakan saya nanti," katanya.

Dayah berkata, dia mungkin akan memperkenalkan lagu itu di YouTube, pada masa sama mencari pengedar dan syarikat rakaman yang berminat untuk memasarkannya dengan lebih agresif.

"Saya juga sudah menyiapkan rakaman muzik video Imamku di Bali, Indonesia, dua minggu lalu. Mungkin kerana tarikh pernikahan yang semakin dekat, ramai menyangka saya ke sana untuk menjayakan sesi fotografi praperkahwinan," katanya.

Pernah mengendalikan program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O dan Hijabista di TV9, Dayah berkata, perkenalannya dengan Muhammad Hanif Hamidi bermula ketika mereka belajar di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan.


DAYAH dan Hanif bakal disatukan pada 29 Jun depan. - Foto Instagram Dayah Bakar

"Kebetulan rumah kami juga berdekatan dan dia antara teman sepermainan saya ketika kecil. Kami bagaimanapun, mempunyai personaliti berbeza. Berbanding saya yang banyak bercakap, Hanif pula lebih pendiam.

"Usia kami sebaya iaitu 29 tahun dan Hanif bertugas sebagai pegawai tentera berpangkat kapten," katanya.

Selesai upacara pernikahan, pasangan itu akan diraikan dalam majlis di Ampang pada 1 Julai, disusuli acara bertandang di Kuala Pilah seminggu selepas itu.

10594 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »