Isnin, 16 April 2018 | 4:55pm
KAER pertama kali berduet dengan amylea

Lebih 10 tahun ulang-alik KL-Jakarta

KUALA LUMPUR: Lama menghilang, rupa-rupanya bekas peserta Akademi Fantasia (AF), Kaer Azami sibuk mengusahakan dua label pakaian selain pernah menata gaya untuk pelanggan di Jakarta sejak 10 tahun lalu.

Melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen di Kolej LaSalle, Jakarta pada 2006, siapa sangka, rezeki penyanyi Izinku Pergi yang popular pada 2007 itu, 'melimpah' di seberang.

Tidak hairanlah, Jakarta bagai rumah kedua buat Kaer.

"Ketika menuntut di Jakarta, saya buat kerja sambilan termasuk menata gaya untuk pelanggan. Saya banyak berkawan dengan pemuzik dan komposer muda.

"Saya dapat menimba pengalaman dan menambah ilmu dalam bidang seni. Malaysia dan Indonesia juga serumpun... Negara itu sudah dekat dalam hati saya seperti Malaysia," katanya kepada BH Online.

Kaer berkata, dia mengusahakan dua label fesyen iaitu Quhji dan Kazami di Jakarta.

Mengejutkan peminat apabila muncul pada sebuah acara anugerah di ibu negara, baru-baru ini, Kaer teruja berkongsi perkembangan terbaharu membabitkan lagu duet bersama temannya, Amylea Azizan berjudul Tak Pernah Hilang.

"Kali terakhir saya muncul dengan single adalah lagu berjudul Andai, kira-kira empat tahun lalu. Single terbaharu ini adalah hadiah istimewa buat peminat yang menyokong saya sejak zaman AF.

"Insya-Allah, Ogos depan saya akan muncul pula dengan single solo. Lagu itu bagaimanapun belum dirakam.... Kali ini, saya hasilkan single genre pop akustik bagi menepati cita rasa anak muda," katanya.

Lagu Tak Pernah Hilang dicipta Farouk Roman dengan lirik dihasilkan Amylea mula diperdengarkan di platform digital. Video muziknya dijangka dimuat naik, esok.

7678 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »