Isnin, 16 April 2018 | 9:13pm

Peminat tawar diri balut luka Sufian

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang 'meletup' dengan single Di Matamu, Sufian Suhaimi, enggan memikirkan soal cinta selepas ikatan pertunangannya dengan aktres berkening lebat, Elfira Loy terlerai di tengah jalan.

Sebaliknya, jelas Sufian tahun ini adalah masa bagi dirinya lebih fokus kepada kerjaya nyanyian yang makin berkembang.

"Ada banyak benda yang saya nak buat tahun ini dan cinta bukan salah satu daripadanya....bagi saya lebih baik fokus dengan kerja, membina kerjaya dan terus memartabat industri seni serta memberi banyak warna kepadanya," katanya kepada BH Plus.


PENYANYI, Sufian Suhaimi mahu lebih fokus dalam bidang nyanyian. - Foto Rosela Ismail

Sufian menambah, bukanlah bererti dirinya menutup pintu hati menerima cinta, cuma ia bukanlah keutamaan buat masa ini.

Ditanya apakah sudah patah hati dan serik apabila membuat keputusan begitu, jejaka berkaca mata ini berkata, dia percaya setiap yang berlaku ada rahmat di sebaliknya.

"Bukannya serik, tetapi saya melihat perkara itu (putus tunang) sebagai salah satu cara untuk Tuhan jadikan saya orang yang lebih baik.

"Ia juga memberi peluang kepada saya untuk mencari sesuatu yang baharu dalam hidup," tegas penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Terakhir ini.

Anggap usikan peminat

Sebagai penyanyi dan mempunyai ramai peminat terutama wanita, tentunya Sufian berdepan dengan pelbagai ragam dan tidak mustahil jika ada di antara mereka yang sudi untuk menjadi pengganti sekali gus membalut luka di hatinya.

Menjawab pertanyaan itu, penyanyi berusia 26 tahun ini mengaku berdepan dengan situasi seperti itu terutama dalam media sosial miliknya.

"Kalau melihat ruangan komen, memang ada yang berani hendak membalut luka di hati saya, tetapi semua itu saya anggap sebagai usikan peminat dan netizen.


SUFIAN Suhaimi akan melanjutkkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). - Foto Rosela Ismail

"Mungkin mereka bercakap begitu kerana mahu menjaga hati dan menunjukkan bahawa saya masih diterima. Atau mungkin juga kerana mereka mahu membuat saya gembira," katanya.

Mengikat tali pertunangan dengan Elfira pada 6 Oktober 2017, spekulasi ikatan pasangan ini goyah mula diperkatakan sejak Disember lalu apabila mereka tidak lagi memuat naik gambar bersama di laman sosial.

Bagaimanapun berita itu ternyata benar selepas ibu kepada Elfira, Filzah Yusoff, mengesahkan yang ikatan pertunangan mereka sudah pun berakhir Februari lalu.

Terima tawaran buat PhD

Benarlah bagai dikata, setiap kekecewaan ada hikmah di sebaliknya. Selepas jiwa direntap akibat cinta tak kesampaian, ada berita gembira menanti Sufian.

Teruja bercerita, Sufian yang menamatkan program ijazah sarjana dalam bidang komunikasi massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Februari lalu, mengakui ditawar beberapa universiti awam dan swasta untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

"Ada beberapa tawaran menarik diterima termasuk biasiswa penuh dalam bidang komunikasi dan pengurusan, bagaimanapun ketika ini saya mahu memberi tumpuan kepada kerjaya seni.


PENYANYI, Sufian Suhaimivideo muzik Di Matamu sudah mencatat lebih 10 juta tontonan. - Foto Rosela Ismail

"Jadual saya memang sangat padat. Jika saya terima tawaran itu, bimbang pula tak mampu untuk membahagikan masa kerana pengajian peringkat PhD memang sukar," jelasnya yang memegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini.

Sufian berkata keputusan itu tidak bermakna dia mahu melupakan terus hasrat untuk menyambung pengajian, kerana suatu hari nanti beliau tetap mahu memburu impian memiliki gelaran PhD.

"Insya-Allah, saya akan sambung belajar, suatu hari nanti. Ini kerana bagi saya, tiada tarikh luput dalam menuntut ilmu," katanya.

Info Sufian Suhaimi

  • Sejak dimuat naik ke laman YouTube pada 22 Mac lalu, video muzik Di Matamu sudah mencatat lebih 10 juta tontonan.
  • Video lagu itu juga kekal kedudukan pertama tersohor kini selama kira-kira dua minggu.
  • Sufian mula dikenali selepas single sulung, Terakhir, popular pada 2016
Berita Harian X